Wednesday - 28, May 2025

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 platform utama perkukuh kerjasama serantau – PMO

Share

SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini merupakan platform utama bagi pemimpin-pemimpin ASEAN meneliti kemajuan rantau itu dalam tiga tunjang utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata sidang kemuncak itu juga menjadi medan utama untuk membincangkan isu-isu serantau dan global yang semakin kompleks termasuk isu Laut China Selatan, krisis kemanusiaan di Gaza dan Myanmar, tarif perdagangan unilateral oleh kuasa besar, cabaran ekonomi digital dan rantaian bekalan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sering menegaskan bahawa di Kepengerusian ASEAN tahun ini, Malaysia memikul tanggungjawab penting dalam membentuk hala tuju Komuniti ASEAN yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan.

“Fokus utama Malaysia adalah untuk memastikan ASEAN kekal relevan, responsif dan berpaksikan rakyat selaras dengan wawasan jangka panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Selain sidang kemuncak bersama negara-negara anggota ASEAN, Tunku Nashrul berkata Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua dan inisiatif baharu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang masing-masing dijadualkan berlangsung esok dan diketuai oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC bakal meneliti pelaksanaan Rangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024-2028 termasuk inisiatif dalam perdagangan bebas, pendidikan, pembangunan mampan dan keterhubungan budaya serta digital.

“Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua juga mengukuhkan komitmen jangka panjang kedua-dua rantau yang telah menjalinkan hubungan sejak 1990.

“ASEAN dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting, dengan jumlah dagangan mencecah USD130.7 bilion dan pelaburan GCC ke ASEAN sebanyak USD390.2 juta,” katanya.

Menyentuh mengenai atur cara hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 hari ini, Tunku Nashrul berkata sidang hari ini menyaksikan pelbagai sesi penting melibatkan Perdana Menteri bersama para pemimpin ASEAN dan wakil pelbagai sektor.

Antara yang dijadualkan termasuk sesi plenari dan pemukiman yang akan membuka ruang kepada perbincangan mendalam berkenaan cabaran serantau dan agenda masa depan ASEAN, serta sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) bagi memperkukuh dimensi inklusif dalam proses pembuatan dasar serantau.

Turut diadakan Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, dengan Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan pembukaan, dan Majlis Makan Malam Gala ASEAN, sebagai acara kemuncak hari pertama.

Tunku Nashrul berkata selain itu beberapa mesyuarat dua hala juga dijadualkan berlangsung sepanjang hari bersama rakan-rakan strategik termasuk Kemboja, Singapura, China dan Kuwait.

“Hari ini merupakan detik penting dalam perjalanan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025. Kepimpinan Perdana Menteri akan menjadi tumpuan, bukan sahaja dalam membentuk keputusan-keputusan utama sidang, tetapi juga dalam mempamerkan iltizam Malaysia terhadap keterangkuman, kemampanan dan kestabilan serantau,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 menjadi medan untuk Malaysia menyelaras agenda pembangunan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Melalui kepengerusian ini, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti GCC dan China.

“Lebih daripada itu, penganjuran sidang berskala besar ini turut menyumbang manfaat langsung kepada ekonomi domestik, khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya.

— BERNAMA – 26/5/2025

Read more

khabar terbaru