Perlantikan seorang mufti Wilayah Persekutuan baru adalah satu urusan pentabiran biasa.
Namun perlantikan pendakwah terkenal, Ahmad Fauwaz Fadzil ke jawatan berkenaan berkuatkuasa 23 Mei lalu agak menarik.
Ini kerana beliau adalah anak kepada bekas Presiden PAS Allahyarham Fadzil Noor.
Dalam pada itu beliau juga adalah adik kepada Setiausaha Agung parti Amanah, Faiz Fadzil.
Pelantikan Ahmad Fauwaz sebagai mufti Wilayah Persekutuan adalah sebagai menggantikan Luqman Abdullah, yang kembali bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya selepas memegang jawatan tersebut sejak 2020.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dalam satu hantaran hari ini, memaklumkan pelantikan itu menerusi Facebook rasminya.
“Sekalung tahniah. Ketua Pengarah dan seluruh warga Jakim merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuatkuasa 23 Mei lalu.
“Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan dan mengurniakan kekuatan dalam memikul amanah besar ini demi kemaslahatan ummah dan negara,” katanya.
Ahmad Fauwaz memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir, dan Sarjana Syariah dari Universiti Malaya. Selain itu, dia juga pernah menjalani latihan kefatwaan di Dar al-Ifta’, Mesir, dan memiliki sijil kemahiran fatwa.
Dia juga adalah ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan mempunyai kepakaran dalam bidang akidah serta pernah berkhidmat sebagai panel pakar akidah di Jabatan Agama Islam Perak.
Sebelum dilantik sebagai mufti, Ahmad Fauwaz juga aktif dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam. Dia pernah mengetuai jawatankuasa khas untuk membentuk modul pemulihan akidah bagi kanak-kanak yang terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Dalam bidang kewangan Islam, dia berkhidmat sebagai penasihat syariah untuk beberapa institusi, termasuk Alliance Islamic Bank Berhad dan FWD Takaful Berhad. Dia juga mengendalikan latihan berkaitan fiqh perundangan Islam melalui syarikatnya, FAZ Advisors.
Pelantikan Ahmad Fauwaz sebagai mufti Wilayah Persekutuan adalah sebagai menggantikan Luqman Abdullah, yang kembali bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya selepas memegang jawatan tersebut sejak 2020.-26/5/2025