Wednesday - 4, June 2025

Isu ‘Langkah Zafrul’….Zahid anggap tak beretika…Mohamad Hasan OK

Share

Langkah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz nak keluar UMNO dan sertai PKR terus jadi isu hangat dengan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi sifatkan ia tidak mengejutkan tetapi ‘tidak beretika’.

Orang nombor dua dalam kepimpinan UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pula sebaliknya beri komentar untuk sejukan suasana dengan anggapnya suatu hal yang lumrah dalam politik.

Timbalan Perdana Menteri yang mengesahkan UMNO sudah terima surat rasmi Tengku Zafrul menegaskan kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Dr Asyraf Wajidi malam tadi adalah kenyataan rasmi dan pendirian pimpinan UMNO.

Asyraf yang pertikai langkah Tengku Zafrul antara lain kata adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.

Katanya ia bagi mengelak berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan sehingga tercetus prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap setiakawan, keikhlasan serta kejujuran ahli akar umbi.

Zahid yang ditemui wartawan selepas satu majlis di Serian, Sarawak pada Sabtu kata tidak beliau tidak terkejut dengan pengumuman Tengku Zafrul di media sosial semalam kerana ia sudah dibincang tiga bulan yang lalu, namun tetap menganggap tindakan berkenaan sebagai tidak beretika.

“Saya tidak ada masalah beliau keluar tetapi kita harus tahu oleh kerana kita berada dalam Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan MADANI, adalah tidak beretika jika parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima kemasukan parti anggota Kerajaan MADANI.

Zahid berkata, susulan tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, itu keluar parti, beliau mengharapkan Kerajaan Perpaduan memberi satu jawatan menteri kepada UMNO bagi mencukupkan kuota tujuh menteri yang diperuntukkan sebelum ini.

“Sekarang UMNO tinggal enam menteri dan jika kuasa mutlak dilaksanakan sepenuhnya oleh Perdana Menteri dan dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar UMNO, maka layaklah UMNO memohon satu kerusi menjadi menteri penuh untuk mencukupkan jumlahnya kepada tujuh,” katanya.

Zahid berkata, ketika Tengku Zafrul dilantik menjadi menteri pada 2020, kerajaan (pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika itu tidak merujuk beliau mewakili UMNO.

“Selepas itu (berlaku pertukaran kerajaan) apabila salah seorang Naib Presiden UMNO waktu itu menjadi Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang ketika itu kuotanya dikatakan daripada UMNO dan kemudian dalam Kerajaan MADANI seolah-olah beliau dilantik mewakili UMNO.

“Walaupun kita tidak pasti ketika itu sama ada pelantikan Tengku Zafrul atas kapasiti UMNO atau sebaliknya, anggapan kita ia daripada UMNO, malah beliau mendakwa menjadi ahli UMNO Lembah Pantai sejak 1997,” katanya.

Mengenai cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya Tengku Zafrul dikenakan denda RM100 juta kerana melompat parti,Zahid berkata, perkara itu akan dirujuk kepada penasihat undang-undang parti.

Akujanji ditandatangani oleh calon UMNO yang bertanding di kawasan Parlimen pada pilihan raya lalu namun Tengku Zafrul tewas sebelum dilantik semula sebagai Senator.

“Saya akan teliti dengan penasihat undang undang UMNO sama ada kes beliau ini tertakluk kepada akujanji itu atau sebaliknya dan saya akan maklumkan,” katanya.

Sementara itu Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar dalam kenyataan umum disiarkan di media sosialnya kata apa yang dilakukan oleh Tengku Zafrul bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau luar biasa.

Katanya ia adalah sebahagian daripada dinamika politik semasa yang sifatnya semakin terbuka dan rencam.

“Semua orang berhak memilih jalan mereka – dan kami (UMNO) pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti, dan memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

Kata Mohamad Hasan beliau memang menghormati keputusan Tengku Zafrul untuk berundur daripada UMNO dan memilih arah politik yang lebih dekat dengan pandangan peribadinya.

Sepanjang bersama dalam kerajaan atas tiket UMNO, tambah Mohamad, senator terbabit banyak memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Justeru, katanya, UMNO mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan Tengku Zafrul.

Pada masa sama Mohamad menegaskan UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu.

“Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat, bukan pada nama atau kedudukan.

“Orang datang dan pergi, itu lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan,” katanya.

Beliau menyeru agar ahli dan penyokong UMNO supaya jangan goyah akibat tindakan seorang dua dalam parti itu.

Katanya UMNO bukan baru dibina sejak sehari dua lalu dan ia juga tidak diangkat kerana seseorang sebagai tokohnya.

Lebih daripada itu, katanya, UMNO mempunyai misi yang lebih besar iaitu menyatukan, memperbaiki, dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada parti berkenaan.

“Saya doakan yang terbaik buat Tengku Zafrul, dan kita doakan yang lebih baik untuk UMNO,” katanya.- 31/5/2025

Read more

khabar terbaru