Komitmen kuat Malaysia untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan untuk melindungi kepentingan negara, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam ucapannya di Mesyuarat Menteri-Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) di Tokyo, menegaskan kemajuan teknologi digital yang pesat membawa banyak manfaat, namun turut mendedahkan masyarakat kepada risiko baharu yang semakin kompleks.
“Dalam dunia yang semakin saling terhubung, kebergantungan kita kepada teknologi digital meningkat dengan pesat.
“Walaupun ia membuka pelbagai peluang, ia juga membawa cabaran keselamatan yang memerlukan perhatian serius,” kata beliau dalam ucapan pada Sesi 4 bertajuk: Secure and Trusted Digital Environment.
Menurut Fahmi, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia mengetuai penggubalan Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab yang telah disokong dalam Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab ke atas Maklumat (AMRI) ke-17 dan bakal dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini.

“Malaysia turut mencadangkan pembangunan Toolkit ASEAN untuk Keselamatan Dalam Talian, yang bakal menjadi rujukan kolektif berkongsi amalan terbaik dan sumber praktikal dalam menangani cabaran keselamatan digital serantau,” katanya.
Jelasnya antara inisiatif utama Malaysia dalam menangani isu keselamatan digital ialah pelaksanaan Kempen Keselamatan Internet secara nasional yang memberi tumpuan kepada isu seperti penipuan dalam talian, perjudian siber, buli siber, bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dan penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun.
Kempen itu turut diperluas melalui Jelajah Keselamatan Internet 2025, yang dilancarkan pada Januari lalu dan menampilkan sesi interaktif serta forum bersama pelajar dan masyarakat umum.
Di samping itu, kerajaan turut memperkenalkan Kerangka Peraturan bagi Penyedia Perkhidmatan Mesej Internet dan Media Sosial yang mewajibkan semua platform dengan lapan juta pengguna atau lebih di Malaysia untuk memohon Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Langkah ini adalah untuk memastikan platform-platform besar mematuhi undang-undang tempatan dan bertanggungjawab menguruskan kandungan berbahaya,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, Malaysia juga telah menerbitkan Kod Tingkah Laku (Amalan Terbaik) pada 20 Disember 2024 bagi menggalakkan amalan etika dan kebertanggungjawaban dalam kalangan penyedia perkhidmatan seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dahulunya Twitter) dan TikTok.

Bagi menangani penyebaran maklumat palsu pula, Fahmi memberitahu kerajaan menubuhkan portal Sebenarnya.my yang kini mencatat purata 2.2 juta capaian bulanan.
“Inisiatif ini diperhebat dengan pelancaran AIFA Chatbot, yang membolehkan pengguna menyemak kesahihan berita secara langsung melalui WhatsApp dan laman web.
“Sehingga 31 Mac 2025, AIFA telah memproses lebih 84,000 mesej dengan purata 1,338 mesej sehari,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan rakan serantau dalam membina ekosistem digital yang selamat, inklusif dan boleh dipercayai.
“Melalui kerjasama, kepercayaan bersama dan pembinaan keupayaan berterusan, kita mampu memastikan tiada siapa yang tercicir dalam era digital ini,” katanya.-31/5/2025 OLEH AHMAD SYAUQI ABDUL RAZAK