Apa yang pasti sekarang buat sementara waktu tiada rombakan kabinet ekoran surat perletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam pada itu kedudukan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak terkesan dengan langkah beliau keluar UMNO dan mohon sertai PKR.
Ini dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wartawan ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Ahad.
Katanya dua jawatan menteri yang bakal kosong yakni Menteri Ekonomi yang disandang Rafizi dan Nik Nazmi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan dipangku sementara oleh menteri lain.
“Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri letak jawatan dan beri masa mereka untuk melakukan apa yang perlu dan menghabiskan cuti. Saya luluskan permohonan cutinya.
“Sekarang urusan kerajaan berjalan seperti biasa dan mesyuarat Kabinet akan dimaklumkan mengenai menteri yang akan pangku (tugas),” katanya.
Peletakan jawatan Rafizi akan berkuat kuasa pada 17 Jun 2025. Bermula 28 Mei beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan hingga 16 Jun 2025.
Sementara itu, Nik Nazmi mengumumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 4 Julai 2025. Beliau bercuti mulai 29 Mei hingga 3 Julai 2025.
Mengenai isu Tengku Zafrul, Perdana Menteri menjelaskan setakat ini tiada perbincangan rasmi mengenai permohonan beliau hendak sertai PKR.
Namun katanya kedudukan beliau sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak terkesan.
“Kita belum bincang apa apa lagi.Biarlah beliau tunai Haji dulu.Kita tidak perlu spekulasi yang kurang sihat,”katanya.
Apapun Anwar memuji prestasi Tengku Zafrul sebagai menteri.
Katanya berbillion pelaburan masuk dan ia diurus oleh MATRADE ,kementerian beliau dan kerajaan.- 1/6/2025