Monday - 9, June 2025

KPT akan selaras bantuan untuk keluarga mahasiswa kemalangan di Gerik – PM Anwar

Share

Susulan kemalangan melibatkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pagi Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa kemalangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 pelajar tersebut.

Beliau berkata musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang, seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.

“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” kata beliau.

Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.

“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata kementerian itu akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi itu.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang turut melibatkan warga UPSI.

“Sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini,” katanya.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut dari Hospital Gerik pada 1.10 pagi tadi.

“Sampai di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas terbalik dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza,” menurut kenyataan itu.

PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terlibat, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tajung Malim, Perak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon dalam kenyataan berasingan berkata bas dan kereta jenis Perodua Alza itu dalam laluan yang sama iaitu dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Gerik.

Beliau turut mengesahkan kemalangan melibatkan mangsa seramai 48 orang dalam kemalangan yang menyebabkan bas terbalik dan kereta terbabas ke dalam parit. itu.

“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.

“Ketua Operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas, untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas pemotong hidraulik,” katanya.

Sayani berkata apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa yang masih berada di dalam bas.

Sayani berkata tindakan penyelamatan seterusnya dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa mereka keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Mangsa-mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri telah diberi rawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi. Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ambulans KKM dan APM,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin ketika dihubungi berkata kebanyakan penumpang bas merupakan pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti perayaan Aidiladha.

“Kesemua mereka berkumpul di Jerteh dan menyewa bas sendiri untuk pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas pulang beraya di kampung halaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata kementerian itu akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi itu.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang turut melibatkan warga UPSI.

“Sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.-9/6/2025

Read more

khabar terbaru