Tuesday - 10, June 2025

Pengumpulan data telefon bimbit inisiatif global yang disokong PBB, Bank Dunia – MCMC

Share

Pengumpulan data telefon bimbit (MPD) daripada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang mahu dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merupakan inisiatif global yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa dan Bank Dunia serta telah digunakan di lebih 50 negara.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata pengumpulan data tersebut bagi memperkukuh perancangan dasar serta pembangunan negara melalui penggunaan data mudah alih yang telah dinyahidentiti tanpa melibatkan maklumat peribadi individu.

“Inisiatif ini menyokong transformasi digital dalam kaedah pengumpulan statistik. Dengan liputan telefon mudah alih melebihi 148 peratus, kita dapat menjana data lebih pantas, tepat dan menyeluruh berbanding kaedah survei konvensional yang mengambil masa bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata penggunaan MPD, yang dikatakan telah mencetuskan kegusaran pengguna, membolehkan perancangan berkaitan pembangunan serta intervensi dasar dilaksanakan dengan lebih kemas dan tepat.

Ini kerana MPD meningkatkan kecekapan dalam pengumpulan maklumat dan statistik sekali gus mengatasi beberapa kekangan yang wujud dalam kaedah survei tradisional, katanya.

“Sebagai contoh, kajian kependudukan kebiasaannya dilaksanakan melalui bancian nasional yang hanya dijalankan setiap 10 tahun. Malah survei terperinci sering memerlukan sesi temu bual bersemuka dengan responden yang mengambil masa dan menelan kos yang tinggi.

“Dengan adanya MPD, sebahagian maklumat yang diperlukan sudah tersedia tanpa perlu ditanyakan secara langsung dalam soalan survei. Ini menjadikan proses pengumpulan data lebih cekap dan pantas,” katanya.

Dari sudut responden pula, Zurkarnain berkata MPD membolehkan dasar dirangka dengan lebih cekap selain menjimatkan masa responden yang kini mungkin hanya perlu menjawab 10 soalan berbanding 30 sebelum ini.

Mengenai isu privasi, Zurkarnain berkata MCMC sekali lagi menegaskan bahawa semua data MPD adalah tanpa identiti iaitu tiada nama, nombor kad pengenalan, alamat atau lokasi individu yang maklumatnya dikumpul.

“Data hanya merujuk kepada lokasi menara pemancar, bukan lokasi pengguna,” tegasnya.

Beliau berkata MCMC tidak menerima data mentah dan semuanya telah dinyahidentiti oleh penyedia perkhidmatan serta tidak melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Zurkarnain berkata pengumpulan data itu adalah bagi menyokong inisiatif diterajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang masih dalam peringkat perintis dan akan diperluas selepas semua aspek keselamatan data serta tadbir urus dipastikan kukuh.

“Konsultasi awam akan diadakan apabila fasa perintis selesai. Tujuan MPD adalah untuk menghasilkan data statistik, bukan menjejak individu.

“Ini satu anjakan besar dalam pengumpulan data nasional yang wajar disokong,” katanya.-9/6/2025

Read more

khabar terbaru