Kerajaan menangung kos perbelanjaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun bagi menghadiri Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 pada Mei lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan kira-kira RM486,000 bagi kos berkenaan selepas menerima permohonan daripada Dr Mahathir untuk menghadiri persidangan yang berlangsung di Tokyo itu.
“Ada peraturan membolehkan Perdana Menteri luluskan (perjalanan bekas perdana menteri yang lain) … beliau mohon, kalau Perdana Menteri luluskan, kerajaan akan bayar, termasuk untuk Tun Mahathir.
“Baru-baru ini beliau ingin ke persidangan Nikkei di Jepun, jadi beliau mohon dan saya luluskan walaupun saya ingat daripada sembilan orang, mungkin tujuh orang (yang menyertai delegasinya),” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti yang diadakan secara tertutup di Melaka Khamis.
Turut hadir, dua Naib Presiden, iaitu Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R. Ramanan, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek, Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Anwar berkata walaupun sering dikritik, bekas Perdana Menteri itu mempunyai hak untuk memohon peruntukan, bagaimanapun kelulusan tertakluk kepada pertimbangan Perdana Menteri.
“Jadi, (ada) orang tanya pasal apa bayar? Ada hak beliau (untuk) memohon, tetapi terserah kepada Perdana Menteri untuk meluluskan. Saya tidak mahu ada yang salah faham … saya juga tidak mahu ambil sikap negatif walaupun beliau hari-hari ‘serang’ kita, kita masih luluskan,” kata Anwar.
Pada 30 Mei, Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Forum Antarabangsa Nikkei dan pada forum itu, beliau memberikan bayangan tentang penyertaan terakhirnya dalam persidangan yang membincangkan ekonomi, teknologi dan masa depan Asia itu.
Mengenai perkembangan lain, Anwar berkata beliau masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini, untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.
” … biar mereka berfikir …. Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet). Surat (peletakan jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan) peletakan jawatan mereka,” kata beliau.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan parti yang berlangsung bulan lepas.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya memohon supaya ahli parti kembali mempererat silaturahim sesama mereka walaupun ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan baru-baru ini.
Beliau berkata semua pihak perlu berlapang dada dan melupakan perbezaaan pendapat yang tercetus ketika pemilihan itu untuk agenda lebih besar parti.
“Bayangkan saya boleh bekerjasama dengan UMNO, siap peluk-peluk. (Ahli parti) kena move on untuk agenda lebih besar. Kalau saya boleh bekerjasama dengan UMNO, takkanlah saya tak boleh bekerjasama dengan kawan-kawan yang berbeza pendapat,” katanya.– BERNAMA -12/6/2025