Sekalipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berhasrat untuk melihat Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kekal dalam kabinet namun kedua mereka tidak tunjuk tanda tanda akan ‘patah balik’.
Malah pada hari ini Jumaat Rafizi muatnaik gambar perpisahan bersama team pembantunya di Kementerian Ekonomi.
Katanya,”Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini (Jumaat) untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan beberapa orang yang banyak membantu saya mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi.
“Mereka adalah pegawai-pegawai dasar dalam pasukan saya yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya.
“Dari cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, JSSEZ, NETR, kepada gaji progresif sehinggalah RMK13, mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan.
“Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing.”
Semalam selepas menghadiri seminar pemerkasaan organisasi dan satu mesyuarat tertutup bersama kepimpinan PKR di Melaka,Anwar kata walaupun Rafizi dan Nik Nazmi telah mengemukakan surat peletakan jawatan dan memohon cuti, beliau hanya meluluskan cuti tersebut bagi memberi ruang kepada mereka mempertimbangkan semula keputusan masing-masing.
” … biar mereka berfikir …. Saya kalau boleh (mahu) mereka sertai semula (Kabinet). Surat (peletakan jawatan) sudah diterima, tetapi saya belum terima (luluskan) peletakan jawatan mereka,” katanya.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak sebut berapa lama beliau beri tempoh timbang semula kepada mereka.
Rafizi dan Nik Nazmi telah umum meletakkan jawatan sebagai menteri selepas tewas dalam pemilihan parti PKR yang diadakan di Johor Bharu pada 23 Mei lalu.
Mulanya Rafizi umum sudah hantar surat letak jawatan dan esoknya Nik Nazmi ambil langkah sama.
Semasa kempen pemilihan PKR ,Rafizi berkali kali kata beliau akan letak jawatan menteri sekiranya kalah pertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada Nurul Izzah Anwar.
Beliau berpendirian tidak wajar seseorang yang tidak ada jawatan penting dalam parti duduk dalam kabinet. – 13/6/2025