Saturday - 14, June 2025

SPRM sita barangan mewah RM16 juta geledah rumah Tan Sri kes seleweng dana sukuk

Share

Suasana mencengkam ibarat menonton operasi khas polis dalam filem ketika para pegawai SPRM melakukan penggeledahan di kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras,semalam dalam siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya.[GAMBAR PASUKAN ACTS SPRM DIPETIK DARI MALAYSIA GAZZETE]

Menurut kenyataan SPRM ia menggunakan bantuan anggota pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) dalam proses merakam keterangan Tan Sri terbabit kerana mengesyaki wujud bilik rahsia menyimpan senjata di kediaman berkenaan.

“SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang berharga termasuk senjata yang berkaitan dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di kediaman individu ini.

“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” katanya.

Dalam operasi berkenaan SPRM telah menyita barangan mewah bernilai kira-kira RM16 juta, termasuk jongkong emas, berlian dan alatan kasino.

Antara barangan yang disita termasuk 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama berjumlah kira-kira RM1 juta; serta jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta.

“Selain itu, berlian dan barangan kemas bernilai kira-kira RM4 juta dan satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM150,000 turut disita.

“SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang menjadi tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan keseluruhan penggeledahan dan sitaan semalam berjumlah kira-kira RM16 juta.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.

Menurut beliau proses rakaman keterangan individu tersebut ditangguhkan pada satu tarikh lain disebabkan faktor kesihatan individu terbabit.- 13/6/2025

Read more

khabar terbaru