Wednesday - 18, June 2025

Rakyat Malaysia di Iran digesa keluar segera

Share

Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran diseru agar meninggalkan negara itu dengan serta-merta susulan situasi keselamatan yang semakin tegang selepas tindakan agresif Israel terhadap Iran.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar memaklumkan bahawa keadaan di Iran kekal tidak menentu dan berisiko untuk bertambah buruk tanpa sebarang amaran awal.

“Berikutan keadaan yang semakin merosot, semua rakyat Malaysia di Iran digesa supaya meninggalkan negara itu dengan segera menggunakan apa jua kaedah yang tersedia,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berada dalam keadaan selamat dan telah dinasihatkan supaya keluar dari negara itu tanpa berlengah.

“Kedutaan akan terus menyediakan bantuan konsul yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka. Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan Kementerian,” katanya.

Bagi sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di alamat: No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb; nombor telefon: +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 atau e-mel: mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com.

Kementerian turut mengaktifkan Bilik Gerakan bermula 17 Jun, dan ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kementerian untuk maklumat lanjut di talian +603 8887 4570 atau e-mel: dutyofficer@kln.gov.my.

Konflik antara Iran dan Israel semakin memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh Israel ke atas wilayah Iran yang dilaporkan mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan ahli sains.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

-Bernama -17/6/2025

Read more

khabar terbaru