
KEMASKINI : Setakat ini hanya 2 ADUN Sabah dan seorang ahli perniagaan akan didakwa kes lesen carigali mineral…
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki beritahu pada Rabu setakat ini hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ahli perniagaan akan didakwa kes skandal rasuah lesen carigali mineral di Sabah.
Beliau tidak nyatakan kedudukan seorang lagi ADUN Sabah ditahan SPRM kelmarin kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM150,000 dalam kes berkenaan.
Katanya dua ADUN dan ahli perniagaan itu akan dituduh pada 30 Jun ini di Kota Kinabalu.
“Setakat ini timbalan pendakwa raya (DPP) bersetuju untuk menuduh ketiga-tiga mereka, dan yang lain-lain terpulang kepada kuasa timbalan pendakwa raya untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media bulanan SPRM di Putrajaya. – 25/6/2025
Skandal rasuah lesen cari gali mineral…jumlah ADUN Sabah akan didakwa meningkat 3 orang
Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang akan didakwa dalam skandal rasuah kes pengeluaran lesen cari gali di negeri itu sudah meningkat kepada tiga orang.
Ini ekoran langkah SPRM menahan seorang lagi ADUN negeri itu kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM150,000.
Sebelum ini SPRM dilaporkan akan mendakwa dua ADUN dan seorang awam di mahkamah pada bulan ini.
Suspek terbaru yang juga merangkap pembantu menteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan 9.30 pagi Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan juga mendapati suspek disyaki telah meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM150,000 daripada seorang individu berpangkat Datuk kononnya untuk membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini (Sabah),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata suspek telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan SPRM RM50,000 dengan seorang penjamin dan akan didakwa dalam masa terdekat.
Skandal rasuah ini menjadi isu hangat ekoran pemberi maklumat dakwa adanya bukti audio visual mereka yang terlibat.
Namun sebelum ini Azam Baki dilaporkan memaklumkan bahawa siasatan tidak sepenuhnya bergantung kepada bukti daripada video itu.
“Namun, kami tidak hanya bergantung kepada bukti itu semata-mata, sama ada ia tulen atau tidak, tetapi juga perlu mengambil kira bukti-bukti lain,”katanya.-23/6/2025