Filipina telah dinamakan sebagai negara berbahaya untuk dilawati di dunia berdasarkan laporan keselamatan pelancongan berpangkalan di United Kingdom, HelloSafe.
Negara itu memperoleh skor 82.31 mata dalam indeks yang menggunakan skala 0 hingga 100, dengan skor tinggi menunjukkan tahap bahaya yang lebih tinggi.
Negara itu mengatasi Colombia (79.21), Mexico (78.42), India (77.86) dan Rusia (75.65) dalam senarai 10 negara paling berisiko.
Beberapa insiden jenayah melibatkan pelancong turut direkodkan tahun ini, termasuk pembunuhan dua warga Korea Selatan dalam kejadian rompakan pada bulan Mac dan April, serta satu kes penculikan yang berjaya digagalkan oleh polis Filipina bulan lalu.
Meskipun berdepan cabaran keselamatan, Filipina mencatatkan 1.93 juta kedatangan pelancong asing dalam tempoh empat bulan pertama 2025.
Pada 2024, negara itu menerima seramai 5.4 juta pelawat antarabangsa.
Sementara itu, beberapa negara seperti Amerika Syarikat, UK, dan Australia mengeluarkan amaran perjalanan tahap sederhana hingga tinggi untuk Filipina, menasihati warganya berwaspada di kawasan tertentu.
Menurut laporan HelloSafe, faktor utama yang menyumbang kepada skor risiko tinggi Filipina termasuk kadar jenayah ganas rompakan dan pembunuhan, risiko pengganasan terutamanya di Mindanao, dan insiden penculikan untuk tujuan tebusan.
Manakala wilayah seperti Mindanao mencatatkan tahap bahaya lebih tinggi akibat aktiviti kumpulan militan Abu Sayyaf dan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters, sementara bandar utama seperti Manila dan Cebu juga dilaporkan mempunyai kadar jenayah jalanan yang membimbangkan.
Kementerian Pelancongan Filipina telah meningkatkan kerjasama dengan agensi keselamatan untuk melindungi pelancong, termasuk pemantauan CCTV tambahan dan rondaan polis di kawasan tumpuan pelancong seperti Boracay dan Palawan.
Walaupun isu keselamatan, sektor pelancongan menyumbang 6.2 peratus kepada KDNK Filipina pada 2024.
Kerajaan mensasarkan 7.5 juta ketibaan pelancong pada 2025, tetapi laporan ini mungkin mempengaruhi keyakinan pelancong.-25/6/2025