Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam demonstrasi ‘Gempur Rasuah Sabah 2.0’ di Kota Kinabalu pada 21 Jun lalu dimana karikatur Perdana Menteri turut dibakar boleh menarik nafas lega.
Sekalipun terdapat reaksi beberapa pihak agar tindakan tegas diambil keatas mereka termasuk gantung pengajian namun tidak akan berlaku.
Reaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap insiden berkenaan dinyatakan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri,Selasa.
Katanya Anwar menyifatkan, tindakan pembakaran karikatur beliau di demonstrasi berkenaan sebagai sebahagian daripada tindakan demokrasi yang perlu diraikan.
Beliau memberitahu selaras dengan pendekatan MADANI, Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar tidak menyekat perjalanan akademik mereka yang terbabit.
Jelasnya, Perdana Menteri yang juga bekas aktivis mahasiswa dan seorang reformis merasakan masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan.
“Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu.
“Beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi.
“Di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.
“Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Pada masa sama, katanya, Perdana Menteri turut menitipkan pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.
“Insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.
“Demi generasi akan datang, Kerajaan MADANI akan terus menapak di landasan reformasi, memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemah kearah kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.- 24/6/2025