Sokongan tinggi dalam kalangan generasi muda terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan harapan bahawa Kerajaan Perpaduan mampu bertahan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Namun, tekanan kos sara hidup dalam kalangan golongan bekerja berusia 30 hingga 50 tahun menjadi cabaran besar kepada pentadbiran MADANI.
Menurut Pengarah Program Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, sekitar 60 peratus pengundi bawah 30 tahun menyokong Anwar, berbanding kadar yang lebih rendah dalam kalangan kelompok pertengahan umur.
“Generasi muda cenderung mahukan kestabilan dan yakin dengan usaha kerajaan menarik pelaburan serta memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Namun, beliau mengakui bahawa golongan bekerja berdepan dengan kenaikan kos hidup yang mendesak, pendapatan tidak seimbang, dan persepsi bahawa kerajaan kurang berkesan membantu.
“Ramai rakyat Malaysia berada dalam zon ‘tidak miskin, tapi juga tidak kaya’. Pengaruh media sosial menambah tekanan dengan mencipta impian tidak realistik, menyebabkan rasa kecewa apabila gagal mencapainya,” jelas Ibrahim dalam temunual dengan Awani.
Isu ekonomi kekal menjadi fokus utama pengundi sejak dua dekad lalu dan akan terus mempengaruhi tahap keyakinan terhadap kerajaan.
“Kesan pandemik COVID-19 masih dirasai, baik oleh rakyat mahupun perniagaan. Kerajaan giat memulihkan ekonomi dan mempromosikan Malaysia di peringkat global, tetapi perubahan memerlukan masa untuk benar-benar memberi kesan,” tambahnya.
Merdeka Centre dalam kenyataan terbaru melaporkan bahawa 55 peratus pengundi masih mempercayai kepimpinan Anwar, tetapi prestasi ekonomi akan menjadi penentu utama sama ada sokongan ini berkekalan atau tidak.
Walaupun tiada parti mampu meraih majoriti mutlak, gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dan parti-parti Sabah serta Sarawak dilihat mampu mengekalkan kestabilan kerajaan—selagimana tiada kejutan besar dalam politik atau ekonomi negara.-25/6/2025