Wednesday - 9, July 2025

DUN Sabah akan dibubar sebelum November ini

Share

Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masih menjadi teka-teki, namun Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak menafikan sidang DUN yang berakhir semalam mungkin adalah yang terakhir.

Beliau secara berseloroh mengatakan perlu ‘bermimpi’ dahulu untuk menentukan bila tarikh paling sesuai bagi pembubaran DUN.

Datuk Hajiji bagaimanapun menegaskan DUN tidak akan terbubar secara automatik dan keputusan muktamad masih dalam perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.

“Tunggu apabila sudah ditetapkan, kita akan panggil semua rakan media untuk umumkan tarikhnya.

“Sabar, tidak lama lagi. Jangan tanya bulan. Jangan anggap ia automatik. Itu terpulang kepada Ketua Menteri. Saya perlu ‘bermimpi’ dahulu untuk tahu bila tarikh paling baik,” katanya.

Tambah beliau, beberapa pertemuan telah diadakan bersama pemimpin berkaitan, bagi menentukan waktu paling sesuai untuk langkah tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri sedia ada iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) masih berfungsi sepenuhnya dan terus memegang mandat rakyat.

DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 November ini sekiranya ia tidak dibubarkan sebelum tarikh berkenaan.-9/7/2025

Read more

khabar terbaru