Rombakan kabinet…Anwar beri bayangan terbaru

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rombakan Kabinet perlu diadakan sekiranya prestasi jemaah menteri meleset atau jika terdapat keadaan yang menuntut ia dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau berkata tempoh masa setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan masih terlalu awal untuk membuat penilaian yang adil dan menteri-menteri perlu diberikan peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan prestasi.
Beliau berkata kerajaan pada hari ini terbentuk daripada gabungan parti, maka setiap keputusan perlu dirunding, dengan penyertaan harus setimpal dan mengambil kira kekuatan parti masing-masing.
“Saya fikir tidak lama lagi… tetapi saya fikir setelah satu tahun, kita buat penilaian yang adil. Orang perintah 10 tahun, tiga tahun… setahun ini terlalu awal, jadi menteri-menteri harus diberi peluang meningkatkan prestasi termasuk Perdana Menteri.
Kemudian kalau ada sedikit penyesuaian berdasarkan pengalaman kita setahun, kita akan lakukan termasuk menambah sekiranya perlu,” kata Anwar pada program wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung malam ini.
Perdana Menteri pada masa sama menasihatkan Jemaah Menteri untuk tidak berasa selesa dengan prestasi yang telah dicapai Kerajaan Perpaduan sepanjang setahun mentadbir negara.
Anwar berkata keselesaan kepada rakyat menjadi ukuran sebenar kepada pencapaian kerajaan yang harus sentiasa memberikan khidmat terbaik.
“Kadang-kadang apabila jadi pemimpin, semuanya (dirasakan) terbaik. Sistem pendidikan semuanya nombor satu, kesihatan…terbaik. Kita dengar dulu tetapi bila lihat kenyataan, tandas pun tak dapat dibaiki, sekolah pun banyak yang robek.- 5/12/2023