News

Company:

Wednesday - 16, April 2025

Jadikan ekonomi agenda tingkat kesejahteraan keluarga

Share

INSTITUSI keluarga yang teguh dan sihat adalah tunjang masyarakat sejahtera. Keluarga memainkan peranan penting dalam memelihara, memperkasa dan menyokong individu serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Bagaimanapun institusi keluarga di Malaysia sedang melalui beberapa perubahan besar memerlukan sokongan dari institusi sosial lain dan perubahan dalam cara berkeluarga.

Pembandaran pesat membawa kepada perubahan dalam struktur keluarga. Rata-rata keluarga di bandar lebih kecil dan terpinggir daripada sokongan sosial ahli keluarga lain. Kesibukan bekerja sering menjauhkan keluarga daripada budaya berkeluarga. Ini membawa kepada kerosakan dalam sistem sokongan sosial.

Kadar kelahiran di Malaysia menurun pada kadar terendah sepanjang separuh abad kepada 1.7 anak pada tahun ini menurut Jabatan Perangkaan. Kadar ini di bawah kadar gantian sebanyak 2.1 anak setiap wanita.

Antara implikasi penurunan kadar kelahiran bermaksud keluarga akan menjadi semakin kecil dan ini boleh membawa kepada penurunan sokongan sosial dalam kalangan ahli keluarga kerana terdapat kekurangan ahli keluarga boleh saling bergantung.

Implikasi kedua bermaksud akan terdapat peningkatan dalam bilangan warga emas dan pengecilan bilangan generasi muda. Malaysia sedang menghadapi penuaan penduduk yang mana 11.8 peratus daripada penduduk berusia 65 tahun ke atas pada tahun ini.

Angka ini dijangka meningkat kepada 18.2 peratus menjelang 2030, menjadikan Malaysia negara menua. Penuaan penduduk ini bakal memberi tekanan kepada institusi keluarga kerana ahli keluarga lebih tua semakin bergantung kepada ahli keluarga lebih muda untuk penjagaan dan sokongan.

Penuaan penduduk bermakna akan terdapat peningkatan dalam permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan penjagaan warga emas. Situasi ini akan memberi tekanan lebih pada ‘generasi sandwic’, istilah digunakan untuk menggambarkan individu terperangkap di antara penjagaan anak yang masih kecil dan ibu bapa.

Ahli ‘generasi sandwic’ sering terpaksa menjalankan tugasan bekerja berbayar, menjaga anak-anak dan merawat ibu bapa secara serentak. Ia boleh menjadi sangat mencabar dan menimbulkan tekanan, keletihan dan masalah kesihatan terutama pada ahli keluarga wanita sering melakukan kerja penjagaan.

Disebabkan itu negara perlu memberi perhatian dan sokongan kepada ekonomi penjagaan. Ekonomi penjagaan merangkumi semua aktiviti berkaitan penjagaan kanak-kanak, warga emas dan orang sakit.

Dalam banyak kes, penjaga kebanyakannya wanita, menghadapi ketidakadilan ekonomi atas sebab mereka melakukan kerja penjagaan sering tidak berbayar atau jika menjadi sumber pendapatan, mendapat bayaran rendah.

Selain itu, institusi keluarga juga diancam dengan ketidakseimbangan kerja dan hidup di bandar. Kehidupan di bandar dengan kadar kos sara hidup tinggi, waktu perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja memakan masa panjang boleh membawa pelbagai cabaran pada kesejahteraan hidup berkeluarga.

Masa bersama pasangan dan anak singkat serta gangguan dalam penggunaan gajet tidak sihat boleh mengakibatkan kemerosotan kualiti interaksi sesama ahli keluarga.

Kajian diterbitkan dalam jurnal ‘Computers in Human Behavior’ tahun ini, pasangan menggunakan gajet lebih dua jam sehari boleh menyebabkan perasaan kesunyian dan pengasingan walaupun pasangan secara fizikal berada di ruang sama. Situasi ini boleh membawa kepada masalah rumah tangga, seperti kesukaran berkomunikasi dan konflik sesama pasangan.

Kesan perubahan ini sering membawa akibat tidak saksama. Keluarga berpendapatan rendah, mempunyai lebih ramai ahli keluarga rentan seperti ibu tunggal, kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) serta kekurangan sokongan sosial akan mengalami kesan lebih buruk.

Usaha jamin kesejahteraan

Bagi menjamin kesejahteraan institusi kekeluargaan di Malaysia, usaha sama diperlukan di setiap peringkat, antaranya:

● Pemerkasaan ibu bapa

Kefahaman serta tahap pendidikan ibu bapa mengenai keperluan tumbesaran anak-anak dari aspek kesihatan fizikal, mental, sosial dan rohani perlu dipertingkatkan.

Ini termasuk bagaimana menangani cabaran masa kini seperti penggunaan teknologi digital sihat dan selamat. Ilmu dan maklumat serta kursus keibubapaan untuk ibu bapa dan penjaga rentan boleh diperluaskan supaya ia bukan sahaja untuk golongan berpendidikan atau berpendapatan tinggi.

● Galakkan perkongsian kerja penjagaan sesama ahli keluarga lelaki dan perempuan

Penjagaan anak, warga emas dan ahli keluarga sakit boleh dikongsi bersama. Cadangan ini memerlukan kesedaran masyarakat dan juga perubahan dasar kerajaan. Cuti paterniti perlu dipanjangkan dan cuti menjaga anak atau ahli keluarga sakit perlu diperluas untuk kedua-dua jantina.

Ibu bapa juga perlu mengajar dan menggalakkan anak lelaki dan perempuan untuk bersama-sama membantu menjalankan kerja rumah.

● Memperkukuh dasar dan inisiatif pengurusan kerja anjal

Ini termasuk pengaturan kerja fleksibel dan pilihan kerja dari jarak jauh untuk ibu dan bapa. Kerja fleksibel boleh merangkumi kelonggaran dalam lokasi bekerja serta masa bekerja.

Majikan juga boleh mewujudkan pilihan jumlah waktu bekerja lebih fleksibel contohnya bekerja 30 jam sahaja seminggu. Selain itu percaturan waktu kemasukan pekerja juga boleh sedikit sebanyak memberi kesan kepada keadaan trafik di bandar.

● Ekonomi penjagaan perlu menjadi agenda utama negara

Malaysia amat memerlukan ekonomi penjagaan yang maju untuk menangani landskap masyarakat semakin berkembang. Negara ini mengalami perubahan demografi dengan populasi semakin tua dan lebih ramai wanita memasuki sektor tenaga kerja.

Ekonomi penjagaan yang teguh amat penting untuk menyokong ahli keluarga sakit, warga emas, kanak-kanak dan OKU. Ia boleh meringankan beban dihadapi ibu bapa dan penjaga bekerja, menggalakkan kesaksamaan jantina dengan membenarkan wanita mengambil bahagian secara lebih aktif dalam tenaga kerja.

Ekonomi penjagaan yang tersusun dengan baik boleh meningkatkan kualiti hidup untuk keluarga dan meningkatkan produktiviti ekonomi keseluruhan sambil memastikan kesejahteraan mereka memerlukan penjagaan.

Apa yang penting kerjasama, komitmen dan kesungguhan semua pihak pemegang taruh, masyarakat, kerajaan, majikan dan swasta amat perlu bagi memperkukuhkan institusi kekeluargaan Malaysia.

DR FATIMAH AL-ATTAS adalah Penyelaras Unit Advokasi dan Kajian Sosial dan Pembangunan (USIDAR), Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Read more

khabar terbaru