Isu Batu Putih : Faktor usia selamatkan Dr M dari tindakan

Ada soalan besar yang masih berlegar tentang isu pulau Batu Putih yang kini jadi milik Singapura.
Ia berbangkit dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu hal ini sebagai menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu).
Katanya kabinet pimpinannya telah memutuskan tidak ambil tindakan undang undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu itu.
Beliau menjelaskan usia yang mencecah 100 tahun merupakan faktor utama kabinet tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Anwar kabinet juga mengambil kira status Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.
“Apakah dia tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Dia salah.
“(Tapi) apakah kita perlu ambil tindakan? Saya dalam mesyuarat Kabinet, saya setuju tak ambil tindakan. Kalau ambil tindakan, anda, Kota Bharu (Takiyuddin) yang akan jerit kata kita tak adil,” kata Anwar.
Pulau Batu Puteh adalah sebuah pulau kecil yang terletak di Selat Singapura, di mana terdapat Rumah Api Horsburgh.
Terdapat pertikaian lama antara Malaysia dan Singapura mengenai kedaulatan pulau ini.
Malaysia dan Singapura membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan keputusan muktamad.
Pada tahun 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh dimiliki oleh Singapura.
Namun, ICJ juga memutuskan bahawa Batuan Tengah (Middle Rocks) adalah milik Malaysia.
Keputusan ini memberi impak besar kepada sempadan maritim dan industri maritim kedua-dua negara.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sewaktu RCI itu dibentuk pada Disember 2024 Anwar kata ia bukan bertujuan membalas dendam terhadap Dr Mahathir.- 22/7/2025