YANG VIRAL

Antara prinsip dan tekanan: Malaysia tetap pertahan Palestin

Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, meskipun berdepan risiko tindak balas ekonomi termasuk kemungkinan dikenakan tarif tambahan oleh Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kekal tegas dalam pendiriannya sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat.

“Tarif yang bakal dikenakan itu lebih kepada soal ekonomi, khususnya membabitkan sektor elektrik dan elektronik (E&E). Namun, tidak dinafikan wujud persoalan sama ada pendirian tegas Malaysia dalam isu Gaza turut diambil kira.

“Apa pun kesan atau ugutan bantahan mereka terhadap pendirian kita dalam isu Palestin-Gaza atau hubungan kita dengan Iran, ia tidak akan mengubah pendirian kita yang tegas,” katanya.

Dalam masa yang sama Anwar menggesa pemimpin dunia agar segera bertindak menghentikan kekejaman berterusan di Gaza, yang disifatkannya sebagai satu tragedi yang menguji nilai kemanusiaan sejagat.

Beliau menegaskan, dunia tidak boleh terus berdiam diri melihat nyawa tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan bayi terkorban dalam serangan kejam yang melampaui batas kemanusiaan.

“Tragedi yang sedang berlaku di Gaza adalah satu ujian terhadap nilai kemanusiaan sejagat kita. Seluruh keluarga dibunuh, kanak-kanak termasuk bayi telah terbunuh, dan yang lain pula sedang menderita kelaparan yang melampau,” katanya.

Anwar juga menggesa komuniti antarabangsa untuk bersuara secara kolektif menentang kekejaman tersebut dan mendesak gencatan senjata segera serta pembukaan laluan bantuan kemanusiaan.

Beliau turut merayu negara-negara berpengaruh agar menggunakan kekuatan diplomatik untuk menekan Israel menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Gaza.

“Saya juga secara khusus merayu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, supaya menggunakan pengaruh beliau untuk mendesak penghentian segera pembunuhan, menghentikan pengeboman secara membabi buta, dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan semua negara tanpa mengira rantau atau ideologi demi memulihkan keamanan dan nilai asas kemanusiaan di Gaza-23/7/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button