TAHUKAH ANDA

RM7.43 juta Dana Kandungan Kreatif diluluskan untuk Sabah, Sarawak – Fahmi

Sebanyak 42 permohonan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada syarikat produksi Sabah dan Sarawak bernilai RM7.43 juta telah diluluskan sejak 2022 hingga Julai ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, permohonan DKK yang diluluskan itu melibatkan pelbagai kategori termasuk filem cereka, filem pendek, dokumentari, pemasaran, skrip dan pascaproduksi serta mewujudkan lebih 1,245 peluang pekerjaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata 14 syarikat produksi tempatan telah ditawarkan Dana Program TV (Borneo) dan 6 daripadanya adalah untuk syarikat produksi Sabah.

Manakala Dana Pasca Produksi, tawaran diberikan kepada 9 syarikat, satu daripadanya merupakan syarikat produksi Sabah.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima DKK Kepada Penggiat Industri Kreatif Sabah, di sini.

“Keseluruhannya, hampir RM1.39 juta diserahkan kepada 7 syarikat produksi Sabah tersebut, bagi Dana Program TV (Borneo) dan Dana Pasca Produksi,” katanya.

Sementara itu, dua penerima Surat Setuju Terima (SST) dan DKK, optimis inisiatif ini akan melonjakkan lagi industri kreatif anak tempatan.

“Dana ini amat diperlukan memandangkan filem kami melibatkan banyak kerja kesan visual (VFX), penyuntingan dan penyesuaian jalan cerita. Proses pascaproduksi juga mengambil masa yang panjang,” kata Nadira Ilana.

Bagi seorang lagi penerima, Gregory Giting, dana itu turut membuka peluang pekerjaan dalam bidang seni dan kreatif bagi warga tempatan.

“Dari aspek penggambaran, dana itu membantu dari aspek penggambaran dan kita punya peralatan. Selain itu, ia juga membantu anak seni supaya lebih ramai yang dapat peluang pekerjaan,” katanya.-23/7/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button