SUARA PEMBACA

Projek Kota MADANI bukan bersifat kosmetik atau bermotif politik – Dr Zaliha

Projek pembangunan Kota MADANI bukan bersifat kosmetik atau bermotifkan politik, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah inisiatif strategik bagi menjamin kesejahteraan penjawat awam yang merupakan tulang belakang pentadbiran negara.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung Pengurusan Pembangunan Putrajaya pada 2021, katanya, Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJHSB) perlu membina 35,000 unit kuarters kerajaan di Putrajaya, namun kini hanya terdapat 22,452 unit disediakan dan baki masih belum dibangunkan.

Dr Zaliha berkata, rekod Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) setakat 15 Jun lalu menunjukkan bilangan penjawat awam yang menunggu bagi pengisian kuarters kerajaan adalah seramai 17,366 orang berbanding kekosongan 1,449 unit.

“Justeru bagi memenuhi keperluan itu, kerajaan telah merancang inisiatif pembangunan Kota MADANI yang membabitkan pembinaan 10,000 unit kuarters kerajaan yang baharu.

“Pembangunan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 10,000 penjawat awam.

“Ia akan dilaksanakan di atas tanah seluas 102 ekar (41.27 hektar) di Presint 19, Putrajaya,” katanya dalam jawapan bertulis dimuat naik dalam laman sesawang Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai asas pemilihan serta hala tuju projek rintis Kota MADANI, dan perancangan kerajaan bagi memastikan ia bukan sekadar projek bersifat kosmetik tanpa manfaat sebenar kepada rakyat.

Menjelaskan lanjut, Dr Zaliha berkata, konsep Kota MADANI bukan sekadar penyediaan perumahan tetapi juga merupakan satu model pembangunan bandar berteraskan ciri-ciri mesra pejalan kaki, inklusif, berintegrasi, serta mampan dan berperikemanusiaan.

Selaras aspirasi Malaysia MADANI, beliau berkata, antara kemudahan awam dirancangkan ialah sekolah, masjid, TASKA, gimnasium serta ruang komuniti yang saling berdekatan bagi menyokong gaya hidup sihat dan lestari.

“Kota MADANI bukan projek mewah atau elitis, tetapi ia berasaskan keperluan nyata.

“Untuk makluman, konsep pembangunan padat dan pembangunan menegak adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang Putrajaya sejak 1998 tetapi akhirnya hanya diterjemahkan melalui projek Kota MADANI,” katanya.-23/7/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button