PM umum harga minyak RON95 akan turun ke RM1.99 seliter

Harga minyak RON95 akan turun ke paras RM1.99 seliter pada hujung bulan September ini.
Ini adalah antara ‘berita gembira’ sebagai penghargaan untuk rakyat yang diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi Rabu.
Harga RON95 sekarang ialah RM2.05 seliter.
Menurut Anwar, kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September 2025.
Perdana Menteri mengingatkan penurunan harga minyak itu hanya boleh dinikmati oleh rakyat tempatan sahaja manakala orang asing masih bayar harga yang sama seperti sebelum turun.
Dalam pengumuman berkenaan Anwar beritahu kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM100 kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Katanya bantuan itu diberikan untuk membantu rakyat membeli barangan keperluan dan isi rumah.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya.
Bantuan itu akan diagihkan melalui MyKad dan boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini.
Sempena Hari Malaysia pada tahun ini ,Anwar beritahu kerajaan setuju beri kelepasan tambahan pada 15 September.
Katanya, hari kelepasan ini bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara.
“Hari kelepasan ini bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia,” katanya lagi.
Perdana Menteri juga umum kerajaan bersetuju untuk menangguh kenaikan kadar tol bagi membolehkan rakyat terus menikmati pembayaran pada harga yang sama.
Katanya susulan daripada keputusan yang mampu memberi kelegaan kepada ramai pihak itu, kerajaan akan menanggung kos lebih daripada RM500 juta.
“Tahun ini, 10 lebuh raya dijadual untuk kenaikan kadar tol seperti mana perjanjian. Kerajaan bersetuju menangguh kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
“Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.
Berikut ialah intipati pengumuman Perdana Menteri
- Semua rakyat umur 18 tahun ke atas dapat RM100 setiap seorang melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Pemberian menerusi MyKad mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 untuk pembelian barangan asas di 4,100 kedai.
- Hari kelepasan am tambahan pada Isnin 15 September 2025 sempena Sambutan Hari Malaysia sebagai penghargaan kepada semangat perpaduan.
- Memperbanyakkan Jualan Rahmah Madani dengan peruntukan digandakan kepada RM600 juta.
Mempelbagai jenis barangan keperluan harian, meningkatkan kekerapan jualan dan memperluas lokasi meliputi semua 600 DUN
- Penurunan sehingga 14% kadar bil elektrik merangkumi 84% pengguna bermula bil Bulan Julai ini.
- Kadar tol kekal – Kerajaan menanggung kos lebih RM500 juta untuk memastikan tiada kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya yang dijadualkan meningkat tahun ini mengikut perjanjian.
- Harga Petrol RON95 turun RM1.99/liter. (Untuk warganegara Malaysia sahaja) – Penurunan ini hasil penyasaran subsidi yang memanfaatkan lebih 18 juta rakyat Malaysia termasuk penunggang motosikal, emandu kereta dan pekerja gig.
- Kerajaan akan menyegerakan pengisian 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak pada tahun ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil susulan keperluan mendesak terhadap sektor penjagaan kesihatan dalam negara.
“Ada keluhan beberapa jawatan penting yang menyentuh kepentingan rakyat umpamanya doktor.
“Jadi kita putuskan bahawa sementara perkhidmatan harus lebih baik, ada doktor kontrak dan doktor baharu diperlukan,” kata Perdana Menteri. – 23/7/2025
Pengumuman penghargaan PM….10.30 pagi Rabu
Pengumuman yang ditunggu tunggu dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibuat pada jam 10.30 pagi esok.Rabu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Selasa.
“Perdana Menteri akan membuat pengumuman berkenaan penghargaan buat semua rakyat Malaysia pada 10.30 pagi, Rabu 23hb Julai 2025. Nantikan,” katanya.
Anwar sebelum ini memberitahu beliau akan mengumumkan penghargaan luar biasa kepada rakyat Malaysia.
Katanya, beliau memerlukan sedikit masa untuk meneliti pengumuman terbabit susulan pemukiman Kerajaan Perpaduan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Keresahan ini memerlukan saya pertimbangkan perubahan dan pengumuman yang perlu dibuat bagi meredakan tuntutan mereka.
“Saya sudah nyatakan dalam sehari dua ini, saya perlu buat pengumuman sama ada dalam bentuk langkah tambahan atau sebagainya, tetapi ia perlukan sedikit masa untuk diteliti dengan sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) .
Sebelum ini, Anwar dalam hantaran di laman sosial Facebook memaklumkan akan membuat satu pengumuman besar sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, tiada perincian dinyatakan apa bentuk pengumuman berkenaan.- 22/7/2025