YANG VIRAL

RM100… nilai kecil, impak besar kepada rakyat berpendapatan rendah

Bantuan tunai RM100 sekali beri kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dilihat sebagai langkah segera dan inklusif kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Felow Kanan Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, walaupun jumlah bantuan itu kecil, impaknya besar kepada kumpulan miskin tegar, B40, ibu tunggal, warga emas dan golongan belia.

“Jika satu keluarga mempunyai lima orang dewasa, mereka menerima RM500. Jumlah ini boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan dapur dan keperluan asas harian. Bantuan ini memberi makna besar kepada golongan yang amat memerlukan,” katanya.

Menurutnya, pengumuman itu dibuat ketika rakyat sedang berdepan kenaikan harga barang makanan dan minuman yang menyumbang hampir 30 peratus daripada bakul Indeks Harga Pengguna (IHP).

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar inflasi bagi Jun 2025 meningkat 0.1 peratus, menjadikan kadar tahunan kepada 1.1 peratus, katanya.

“Kenaikan harga ketara direkodkan pada barangan asas seperti ikan siakap (10.6 peratus), sotong (6.7 peratus) dan santan segar (29.4 peratus).

“Sebanyak 60 peratus item dalam IHP mencatat peningkatan harga, walaupun 97 peratus daripadanya masih dalam julat sederhana bawah 10 peratus,” tambah beliau.

Madeline menjelaskan, bantuan tunai itu disalurkan menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 22 juta rakyat dewasa dan akan dikreditkan terus ke MyKad mulai 31 Ogos 2025.

Beliau turut menyokong langkah kerajaan menyusun semula subsidi diesel secara bersasar yang dijangka menjimatkan RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun untuk disalurkan semula kepada pembangunan pendidikan, kesihatan dan bantuan langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA.

Katanya, berdasarkan data BelanjawanKu terbitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bantuan tunai itu memberi kesan ketara kepada belia, pengguna pengangkutan awam dan keluarga muda yang berpendapatan rendah.

“Inisiatif ini bukti kerajaan peka dengan realiti ekonomi rakyat. Bantuan ini tidak harus dipandang dari segi jumlah semata-mata, tetapi pada waktu dan sasaran pelaksanaannya,” katanya.-24/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button