KEMBARA

BFF2025 jana pulangan ekonomi RM35 juta, 400 peluang pekerjaan

Penganjuran Borneo Flora Festival 2025 (BFF2025) di Labuan dijangka memberikan pulangan ekonomi yang memberangsangkan, termasuk nilai tambah kasar (GVA) sekitar RM35 juta serta mewujudkan 400 peluang pekerjaan sementara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata nilai setara publisiti (AVE) dijangka mencecah RM8 juta, sekali gus mengukuhkan penjenamaan destinasi Labuan.

“BFF2025 turut menjadi prekursor kepada era baharu industri inap desa di Labuan. Kekangan kapasiti hotel sedia ada serta lonjakan permintaan dan tempahan penginapan semasa festival telah mendorong ramai penduduk tempatan menceburi bidang inap desa, dengan menawarkan kediaman mereka sebagai pilihan penginapan jangka pendek kepada para pelawat,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman bertanya soalan kerana ingin tahu jangkaan pulangan pelaburan (ROI) festival tersebut dan potensi menjadikan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan (KSLA) sebagai tapak kekal acara itu.

Sementara itu, mengenai potensi menjadikan KSLA sebagai tapak kekal acara tersebut, Dr. Zaliha berkata, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dengan menekankan keperluan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Menurut Dr. Zaliha, aspek logistik, capaian, serta kemampanan infrastruktur perlu diteliti secara mendalam bagi memastikan kesesuaian jangka panjang tapak tersebut sebagai lokasi penganjuran acara berskala besar secara berterusan.

“Sebagai contoh, Floria Diraja Putrajaya hanya menetapkan Presint 4 sebagai lokasi tetap selepas tujuh tahun penganjuran, selepas mengambil kira pelbagai faktor kejayaan dan cabaran,” jelasnya.

Memandangkan BFF2025 dirancang sebagai acara dwitahunan, Dr. Zaliha berkata keputusan mengenai tapak kekal hanya wajar dipertimbangkan selepas beberapa edisi berlangsung, bagi memastikan lokasi yang dipilih benar-benar memenuhi keperluan penganjuran dalam jangka masa panjang.-24/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button