TAHUKAH ANDA

Johor tuntut 25% hasil cukai dipulang kepada kepada kerajaan negeri – MB

Johor menggesa Kerajaan Persekutuan agar memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada hasil kutipan cukai pendapatan yang disumbangkan oleh negeri itu bagi membolehkannya mempercepat pelaksanaan pelbagai projek asas untuk rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata nilai besar yang disumbangkan Johor kepada ekonomi negara itu seharusnya disertai dengan pulangan setimpal.

“Johor terus mencatat pencapaian luar biasa sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara. Pada suku pertama 2025, negeri ini merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak RM30.1 bilion.

“Pada 2024 pula, Johor merekodkan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tertinggi di negara ini pada kadar 6.4 peratus, mengatasi purata nasional 5.1 peratus. Dalam sektor pertanian, Johor turut menjadi peneraju dengan nilai jualan mencecah RM27.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Onn Hafiz berkata pencapaian tersebut adalah hasil kepimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Namun, beliau mengingatkan bahawa Johor kini berdepan keperluan mendesak bagi mempercepat projek prasarana, kesihatan, pengurusan banjir dan kebajikan sosial.

“Maka, seruan agar sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai dikembalikan bukanlah tuntutan yang bersifat desakan, tetapi cadangan strategik dan berpandangan jauh demi keupayaan pengurusan negeri yang lebih adil serta berkesan,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail telah menegaskan pentingnya kerajaan Persekutuan memulangkan semula sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang dikutip daripada Johor untuk digunakan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, pula menegaskan bahawa pulangan 25 peratus hasil cukai kepada Johor bukan lagi satu pilihan, tetapi kewajipan moral dan fiskal.

“Cukuplah Johor menjadi penyumbang utama ekonomi negara tetapi terus dipinggir apabila berdepan isu prasarana asas. Apakah adil hospital di Pasir Gudang yang sudah siap perlu menunggu setengah tahun hanya kerana kelulusan pusat?

“Sampai bila sistem di pintu masuk negara seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) terus gagal, hingga mencemarkan nama Johor di mata dunia?” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah, berkata cadangan itu tidak harus dilihat sebagai tekanan politik, tetapi langkah strategik berdasarkan rekod cemerlang Johor.

“Cadangan ini bukanlah tuntutan melulu, sebaliknya bersandarkan kepada sumbangan Johor yang terbukti menyokong kemakmuran negara. Ia bertujuan memperkukuh kemampuan negeri untuk melaksanakan projek asas rakyat secara lebih berkesan dan pantas,” katanya.

Sokongan sama turut disuarakan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Syes Mohamed, yang berkata cadangan tersebut adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang menghormati peranan negeri sebagai penyumbang kepada kemajuan negara.

“Ini bukan soal mahu memisahkan diri atau mencabar semangat Persekutuan. Ini soal memberikan keadilan fiskal agar Johor dapat memacu pembangunan sendiri dengan lebih cekap.

“Tanpa pulangan pun Johor sudah membuktikan keupayaannya. Bayangkanlah potensinya jika diberikan hak mengurus lebih banyak hasilnya sendiri,” ujarnya.-25/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button