
Perang Thailand vs Kemboja… penduduk lari dari kawasan sempadan
Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja semakin memuncak apabila sebuah jet pejuang F-16 milik Thailand mengebom sasaran di wilayah Kemboja pada 24 Julai.
Sejauh ini pertempuran antara kedua-dua pihak telah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang awam termasuk seorang kanak-kanak.
Kedua-dua negara saling menuduh satu sama lain sebagai pencetus pertempuran.
Tentera Thailand berkata daripada enam jet F-16 yang telah disiapsiagakan untuk dikerahkan ke sempadan, salah sebuah daripadanya telah meledakkan bom ke atas sasaran tentera Kemboja.
“Kami telah menggunakan kuasa udara terhadap sasaran ketenteraan seperti yang dirancang,” kata Timbalan Jurucakap Tentera Thailand, Richa Suksuwanon.
Kementerian Pertahanan Kemboja pula mendakwa jet-jet berkenaan telah menjatuhkan dua bom ke atas sebuah jalan raya dan mengecam tindakan itu sebagai “serangan ketenteraan yang melulu dan kejam terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Kemboja”.

Ketegangan meningkat selepas Thailand memanggil pulang dutanya dari Phnom Penh lewat 23 Julai dan mengarahkan pengusiran Duta Kemboja di Bangkok.
Ini susulan kejadian di mana seorang lagi askar Thailand kehilangan anggota badan akibat periuk api yang didakwa dipasang baru-baru ini oleh pihak Kemboja di kawasan pertikaian.
Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan berkata: “Kerajaan Diraja Thailand bersedia meningkatkan langkah pertahanan diri jika Kemboja terus menyerang dan melanggar kedaulatan Thailand.”
Ia turut menuduh tentera Kemboja melepaskan “artileri berat” ke atas pangkalan tentera Thailand dan kawasan awam termasuk sebuah hospital.
Di wilayah Surin yang bersempadan dengan Kemboja, penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas dilihat melarikan diri ke tempat perlindungan konkrit yang diperkuatkan dengan karung pasir dan tayar.
“Berapa banyak das tembakan yang dilepaskan? Tidak terkira,” kata seorang wanita kepada Thai PBS ketika bersembunyi dalam tempat perlindungan dengan bunyi tembakan dan letupan kedengaran dari jauh.
Kemboja menyifatkan serangan udara Thailand sebagai “tidak bersebab” dan menuntut negara jiran itu menarik semula tenteranya serta menghentikan sebarang tindakan provokatif.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara sepanjang 817 kilometer telah berlarutan lebih satu abad dan menyebabkan beberapa pertempuran termasuk pertempuran berdarah selama seminggu pada 2011.

Krisis semasa bermula Mei lalu apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam kejadian tembak-menembak, yang kemudian mencetuskan krisis diplomatik dan kini mengakibatkan konflik bersenjata.
Pertempuran terkini bermula awal pagi 24 Julai berhampiran kuil Ta Moan Thom yang terletak di sempadan timur kededua negara – antara wilayah Surin di Thailand dan Oddar Meanchey di Kemboja.
“Peluru artileri jatuh ke atas rumah penduduk,” kata Ketua Daerah Kabcheing, Sutthirot Charoenthanasak, kepada Reuters. Beliau menambah bahawa dua orang terbunuh dan seramai 40,000 penduduk dari 86 kampung telah dipindahkan.
Di wilayah Sisaket, sebuah stesen minyak terbakar disebabkan serangan, menyebabkan enam terbunuh dan 10 cedera. Seorang lagi terbunuh di wilayah Ubon Ratchathani, meningkatkan lagi angka korban.
“Tentera Thailand mengecam tindakan Kemboja menggunakan senjata terhadap orang awam. Thailand bersedia mempertahankan kedaulatan dan rakyat kami daripada tindakan tidak berperikemanusiaan,” menurut kenyataan rasmi tentera.
Tentera Kemboja didakwa telah menggunakan dron pemantau sebelum menghantar askar bersenjata berat ke kawasan kuil.
Jurucakap tentera Thailand berkata, dua askar cedera selepas tembakan yang dilepaskan oleh tentera Kemboja, didakwa menggunakan pelancar roket dan pelbagai senjata berat.
Sebaliknya, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja menegaskan bahawa tentera mereka bertindak mempertahankan diri selepas berlaku pencerobohan tidak berasas oleh pihak Thailand.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, berkata: “Kami perlu berhati-hati. Kami akan mematuhi undang-undang antarabangsa.”
Perdana Menteri yang digantung tugas, Paetongtarn Shinawatra, turut mengecam tindakan Kemboja terhadap orang awam.
“Kami telah menghormati protokol antarabangsa, tetapi Kemboja telah memaksa kami bertindak balas,” katanya. Beliau menambah bahawa walaupun tindak balas ketenteraan masih satu pilihan, matlamat utama Thailand adalah untuk mengelak pertumpahan darah.
Dalam kenyataan di Facebook, mantan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, berkata dua wilayah negara itu telah diserang oleh tentera Thailand.
Kemboja menulis surat rasmi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi menghentikan “pencerobohan Thailand”.
China menyatakan kebimbangan mendalam terhadap situasi ini dan menyeru kedua-dua pihak menyelesaikannya melalui rundingan.
Tentera Udara Diraja Thailand pula menafikan dakwaan media Kemboja bahawa sebuah F-16 telah ditembak jatuh, dan menyifatkannya sebagai berita palsu.-25/7/2025