
Himpunan Turun Anwar: Kematangan demokrasi era Madani
Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, danperbezaan pendapat dijenayahkan.
Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar.
Kerajaan Madani telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai. Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.
Dalam suasana baharu ini, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan. Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita; mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara.
Cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat. Usaha kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.
Di pentas dunia, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca pandemik. Peranan kita kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari.
Ini mungkin meresahkan pembangkang. Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang ketandusan hala tuju. Lantas, strateginya dialihkan kepada mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi – tidak dengan dasar alternatif yang lebih baik, hanya serangan ke atas personaliti.
KEADILAN melihat himpunan ini bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.
Perbezaan pandangan harus diraikan. Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang; kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.
Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi. Persoalannya,
mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama? Mahukah pembangkang mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?
Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya; kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting. Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang, dan adil.
Inilah semangat Madani; ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh.
Adam Adli
Pengarah Komunikasi KEADILAN
27 Julai 2025