FOKUS

Dulu dia yang menyekat, hari ini berlagak pembela… – Shamsul

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoalkan tindak tanduk Tan Sri Muhyiddin Yasin yang kini melaungkan slogan kebebasan berhimpun.

Katanya beliau sudah pernah memegang jawatan Perdana Menteri selama hampir 18 bulan.

“Rakyat memberi ruang dan peluang, namun apa hasilnya? Dulu dia yang menyekat, hari ini berlagak pembela”,katanya.

“Muhyiddin hari ini melaungkan slogan kebebasan berhimpun, tetapi rekod pentadbirannya menunjukkan sebaliknya,” ujarnya.

Shamsul menyatakan demikian dalam satu kenyataan mengenai isu himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau mendakwa ada beberapa himpunan rakyat yang ditekan di bawah pentadbiran Presiden Bersatu itu dulu.

Antaranya :

•Himpunan Undi18 (2021): aktivis pelajar disiasat kerana bantahan penangguhan Undi18.

•Himpunan #Lawan dan Black Flag (2021): disekat, aktivis ditahan, diugut siasatan bawah Akta 342.

•Himpunan Tuntut Parlimen Bersidang (2021): kawasan Parlimen dikawal ketat, wakil rakyat dihalang masuk, rakyat dilarang berkumpul.

Menurut Shamsul Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati hak berhimpun dan bersuara.

“Kerajaan memastikan tiada tindakan keras diambil, tiada gas pemedih mata ditembak dan tiada pentas dihancurkan. Hak rakyat untuk bersuara dijamin.

Namun, ada perbezaan besar antara suara rakyat dengan agenda politik pihak tertentu yang cuba mengheret rakyat untuk mengabsahkan nafsu kuasa mereka.

Muhyiddin sudah dapat peluang jadi Perdana Menteri tapi apa jadi?”

Shamsul mendakwa semasa pentabiran beliau ekonomi merudum, ratusan ribu kehilangan kerja, pelabur lari.

“SOP pandemik bercelaru. Istilah “kerajaan kayangan” lahir kerana rakyat melihat dua darjat layanan.

“Akhirnya beliau hilang sokongan majoriti dan terpaksa meletak jawatan. Ismail Sabri menggantikannya.

“Soalnya mudah. Jika ketika berkuasa pun rakyat menderita, atas alasan apa hari ini Muhyiddin cuba mengangkat dirinya sebagai penyelamat yang mendengar suara rakyat?

Shamsul bertanya kenapa Muhyiddin tidak bina “kerajaan perpaduan” ketika beliau berkuasa dulu.

Katanya kini Muhyiddin menyerang kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, tetapi ketika beliau Perdana Menteri, kenapa beliau sendiri gagal membina kerajaan yang inklusif dan stabil?

Sebaliknya, Malaysia ketika itu disajikan drama keluar-masuk sokongan, tukar ganti menteri dan akhirnya beliau tumbang kerana hilang majoriti.

Shamsul menegaskan kerajaan pimpinan Anwar berdiri atas mandat pilihan raya.

Menurut beliau jika Muhyiddin dan gabungannya yakin suara rakyat sudah berubah, gelanggangnya jelas iaitu pilihan raya.

“Bukan melalui pentas jalanan, bukan melalui angka yang dibesar-besarkan dan bukan dengan memanipulasi isu kaum dan agama untuk menghasut emosi.

“Kerajaan MADANI akan terus mendengar suara rakyat dari suara nelayan, petani, pekerja kilang, peniaga kecil dan anak muda bukan hanya suara mikrofon politik di atas pentas himpunan.

“Rakyat berhak berhimpun. Tetapi suara rakyat jangan diperalat. Demokrasi jangan disandera demi dendam dan kuasa,”katanya.- 27/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button