TAHUKAH ANDA

Thailand mengadu… Kemboja langgar gencatan senjata

Kerajaan Thailand pada Selasa mengadu kepada masyarakat antarabangsa, menuduh Kemboja melakukan serangan berterusan selepas perjanjian gencatan senjata mereka berkuat kuasa pada tengah malam.

Kerajaan berkata dalam satu kenyataan pada Selasa bahawa pasukan tentera Kemboja melanggar gencatan senjata yang dipersetujui pada rundingan di Kuala Lumpur pada Isnin antara kedua-dua perdana menteri.

“Kerajaan Thai dengan ikhlas menyokong perjanjian itu dan mematuhi perjanjian gencatan senjata yang diumumkan bersama,” kata kenyataan itu.

Perjanjian itu sepatutnya menamatkan lima hari pertempuran sengit yang melibatkan serangan bom dan roket di kawasan sempadan, namun pelaksanaannya dilaporkan bermula dalam suasana yang tidak stabil.

Sebaliknya, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu agensi berita AFP bahawa tiada pertempuran bersenjata berlaku sejak gencatan senjata bermula pada tengah malam.

“Tiada pertempuran telah dilaporkan di semua wilayah tentera Kemboja selepas gencatan senjata berkuat kuasa,” katanya.

Satu pertemuan antara pegawai tentera tempatan kedua-dua negara yang dirancang sebagai sebahagian daripada perjanjian itu telah ditangguhkan sebanyak dua kali dan kini berdepan kemungkinan tidak akan berlangsung.

Pertikaian sempadan yang telah berlarutan selama lebih satu abad menjadi punca utama ketegangan antara Thailand dan Kemboja, situasi kembali tercetus sejak Mei lalu apabila seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam satu insiden tembakan.

Ketegangan terus memuncak minggu lalu apabila lima tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api, mendorong Bangkok menutup beberapa pintu sempadan, mengusir duta Kemboja serta memanggil pulang duta mereka dari Phnom Penh.

Pada Khamis, selepas insiden tembakan balas antara kedua-dua negara, Kemboja bertindak melancarkan beberapa serangan roket ke wilayah Thailand yang mengorbankan beberapa orang awam.

Serangan susulan dalam beberapa hari berikutnya menyaksikan lebih banyak korban awam di kedua-dua belah pihak, dengan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara.

Pertempuran sengit dilaporkan berlanjutan sehingga tengah malam Isnin, tarikh akhir gencatan senjata, termasuk serangan udara oleh Thailand ke atas kedudukan tentera Kemboja.

Namun pada pagi Selasa, sebelum Thailand membuat tuduhan pelanggaran, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyatakan bahawa keadaan di barisan hadapan dilihat kembali tenang sejak gencatan senjata dikuatkuasakan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian damai, kedua-dua negara bersetuju untuk menarik balik pasukan masing-masing dan menerima pemantauan bebas bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.

Pertemuan antara Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berlangsung di Malaysia pada Isnin dengan pengantaraan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Asean.

Kemboja, yang dilihat memiliki kekuatan ketenteraan lebih rendah, berusaha keras mencapai gencatan senjata dan menyifatkan pertemuan itu sebagai amat positif.

Thailand yang pada awalnya keberatan untuk berunding, akhirnya bersetuju selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengugut untuk menghentikan rundingan tarif jika konflik tidak dihentikan segera.-30/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button