
PM berbual telefon dengan Presiden Trump pagi Khamis…kadar tarif baru akan diumum esok
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa khabar gembira ke Dewan Rakyat pagi Khamis ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke 13.
Beliau berbual dan berbincang dengan Presiden Donald Trump pada jam 6 pagi ini.
Katanya Presiden Amerika itu akan mengumumkan kadar tarif perdagangan baru untuk Malaysia esok,Jumaat.
Semalam,Rabu Reuters melaporkan Trump sebagai berkata beliau tidak akan melanjutkan tempoh untuk tarif berkuat kuasa, yang juga akan dilaksanakan esok.
“Dan kadar tarif akan diumumkan esok dan kita doa insya-Allah ia akan membantu dan tidak membeban ekonomi negara kita,” kata Anwar.
Pada 8 Julai lalu, kerajaan Amerika mengumumkan tarif rata 25 peratus ke atas semua produk Malaysia.
Kadar itu agak mengejutkan kerana ia satu peratus lebih tinggi dari 24 peratus yang diumum pada April lalu.
Anwar juga beritahu Trump mengesahkan kehadirannya di sidang kemuncak Asean di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Katanya Presiden Amerika itu menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas peranan penting yang dimainkan sebagai pemudahcara dalam menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Menurut Anwar perkara itu dizahirkan secara langsung oleh Trump kepadanya.
“Saya ingin maklumkan pada jam 6.50 pagi tadi, saya berpeluang bercakap dengan Presiden Amerika, Donald Trump. Beliau mulakan dengan penghargaan setinggi-tingginya kepada Malaysia kerana telah memainkan peranan yang berkesan dan sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja.
“Dalam respons saya menyatakan ini kerana kesepakatan ASEAN dan ini kerana sikap positif kedua-dua negara dan juga kerana kerjasama ditunjukkan AS khususnya, Presiden Trump dan Presiden China, Xi Jin Ping,” katanya.
Pada Isnin, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas bagi menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Keduanya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat yang disambut baik negara lain malah Anwar dipuji atas peranan dimainkannya dalam mencapai jalan damai melalui meja rundingan.-31/7/2025