
Istana Seri Kinabalu nafi kaitan keluarga TYT dengan kematian Zara Qairina
Makin pelik dan menarik perhatian ramai selepas Ahli Parlimen Sepanggar dan ADUN Kunak menafikan terlibat dengan kes kematian pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar, Istana Seri Kinabalu pula berbuat demikian.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Istana Seri Kinabalu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial kononnya ada individu dalam kalangan keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman terlibat dengan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurutnya dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh mencemarkan reputasi keluarga Tun Musa.
Istana juga meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berbaur fitnah serta mengingatkan penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada polis atau Kementerian Pendidikan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang awam,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan kes itu dibawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan juga penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
Pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di sini pada 11 pagi 17 Julai, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.
Berikutan itu, pihak keluarga membuat laporan polis dan sehingga semalam polis merakam keterangan kira-kira 60 saksi terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah berhubung siasatan kes kematian tersebut.
Beliau berkata pihaknya juga dibantu oleh pakar kaunseling bagi membolehkan pelajar yang trauma dapat memberikan keterangan dengan jelas mengenai kejadian berkenaan.
“Siasatan itu telah kita bawa ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan juga penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara. Kita serahkan kepada pihak Bukit Aman untuk memberikan pandangan lanjut berkaitan dengan siasatan kes ini sebagai pihak yang lebih tinggi.
“Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan buli ini, tetapi siasatan masih berjalan,” katanya.-1/8/2025