
Bantuan RM100 dikredit terus ke MyKad, tidak perlu pohon – Amir Hamzah
Bantuan tunai RM100 akan dikreditkan secara automatik ke dalam MyKad semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, tanpa perlu memohon.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.
“Pengkreditan dibuat secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tiada tindakan diperlukan daripada penerima,” katanya pada Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (Pakatan Harapan – Bukit Bendera) yang ingin tahu proses pendaftaran dan kelayakan untuk menerima dan berbelanja RM100 di bawah inisiatif SARA.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata inisiatif ini melibatkan 22 juta rakyat dewasa yang lahir pada 2007 dan ke bawah, dengan pelaksanaan bermula 31 Ogos sehingga 31 Disember 2025.
Menurutnya, bantuan itu boleh digunakan di premis runcit terpilih bagi pembelian barangan keperluan harian.
Tambahnya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion untuk pelaksanaan bantuan ini.
Beliau berkata antara barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan ini termasuk beras, telur, ubat-ubatan, barangan kebersihan diri dan keperluan sekolah, membabitkan lebih 90,000 produk bagi 14 kategori.
“Kredit RM100 itu boleh digunakan di lebih 4,500 premis runcit berdaftar seperti Giant, Mydin, Bataras, C- MART, TF Value, serta kedai runcit tempatan lain. Premis yang berminat untuk menjadi rakan niaga boleh berdaftar dengan Yayasan MyKasih,” katanya.
Amir Hamzah turut memaklumkan bahawa gabungan inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini telah ditingkatkan kepada RM15 bilion, meningkat 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau turut menasihati rakyat untuk berhati-hati terhadap sebarang penipuan atau laman palsu yang mendakwa memerlukan pendaftaran bantuan, kerana keseluruhan proses dilakukan tanpa sebarang borang, permohonan atau pengesahan tambahan daripada penerima.-1/8/2025