FOKUS

Tarif Malaysia dengan Amerika Syarikat ditetapkan 19 peratus…

Selepas tiga bulan tanpa kepastian… akhirnya khabar gembira diterima pagi ini selepas Amerika Syarikat secara muktamad menetapkan tarif perdagangan antara Malaysia dan negara tersebut sebanyak 19 peratus.

Ini bermakna Malaysia mendapat pengurangan kadar tarif perdagangan pada 19 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini.

Perkara itu disahkan selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif bagi mengubah kadar tarif timbal balik ke atas beberapa negara.
Menurut White House, perubahan kadar tarif ini akan mula berkuat kuasa pada 7 Ogos.

Singapura pula kekal dengan kadar tarif 10 peratus, manakala Myanmar dan Laos dikenakan kadar tertinggi iaitu 40 peratus susulan kegagalan kedua-dua negara memeterai perjanjian perdagangan dengan AS.

Thailand dan Kemboja turut menerima pengurangan kadar tarif kepada 19 peratus, berbanding kadar asal yang diancam setinggi 36 peratus.

Pengurangan ini susulan persetujuan kedua-dua negara Asia Tenggara itu untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, selepas Trump memberi amaran tidak akan menjalinkan sebarang perjanjian perdagangan jika pertikaian sempadan berterusan.

Filipina dan Indonesia kekal dikenakan tarif 19 peratus selaras dengan perjanjian perdagangan sedia ada bersama Washington.

Barangan Vietnam pula akan terus dikenakan tarif 20 peratus, seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Syria menjadi negara dengan kadar tarif tertinggi, iaitu 41 peratus.

“Presiden telah memutuskan bahawa adalah perlu dan wajar untuk mengubah kadar tarif timbal balik bagi sesetengah negara,” menurut White House.

Dalam pada itu, tiada keputusan muktamad dicapai berhubung kadar tarif terhadap China, meskipun pegawai tinggi kedua-dua negara pada 29 Julai lalu bersetuju untuk memanjangkan gencatan tarif selama 90 hari yang dijangka tamat pada 12 Ogos.

Trump bagaimanapun masih belum memberikan persetujuan rasmi terhadap pelanjutan itu.

Malaysia berunding dengan Washington mengenai tarif sejak April, dengan matlamat untuk mengurangkan tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum ini, dengan rundingan terkini diadakan pada 18 Jun lalu.

Pada 7 Julai, Washington mengumumkan AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dihantar ke negara itu, berasingan daripada semua tarif sektor, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, dan angka itu satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang diumumkan pada April.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beliau mengadakan perbualan telefon dengan Presiden AS Donald Trump pada 6.50 pagi untuk membincangkan isu tarif berlandaskan semangat dan prinsip perdagangan bebas.

Anwar berkata, perbualan itu turut menyentuh siri rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS.-1/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button