
Pengurangan tarif Amerika keatas Malaysia kepada 19 peratus dicapai tanpa jejas kedaulatan negara…
Dalam politik…mainan rasa curiga dan persepsi sudah lumrah.Apa lagi melihat pada perubahan angka tarif yang dikenakan Amerika keatas barangan Malaysia.Asalnya 24 peritus,kemudian naik satu peritus jadi 25 peratus dan terbaru tiba iba turun enam peratus jadi 19 peratus saja.
Apakah pengurangan tarif enam peratus yang kelak bakal menjimatkan ratusan juta wang negara dalam dagangan dengan Amerika gara gara kerajaan sudah angkat bendera putih dalam mana mana hal yang melibatkan kedaulatan negara?
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) segera tampil dengan kenyataan menolak andaian yang bukan bukan tidak lama selepas kerajaan Amerika secara rasmi umum pengurangan itu pagi Jumaat.
MITI menegaskan bahawa keputusan Amerika mengurangkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar penting demi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.
Menurutnya rundingan tarif antara Malaysia dan AS yang bermula pada 6 Mei 2025 telah dimuktamadkan secara rasmi pada 31 Julai 2025.
Ia berkata, hasil positif ini adalah susulan kepada usaha berterusan antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala, dan mencerminkan tahap saling melengkapi yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Amerika selama lebih 60 tahun.
MITI menjelaskan kadar tarif 19 peratus yang berkuat kuasa hari ini itu juga hampir setara dengan kadar yang dikenakan terhadap negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.
Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keputusan oleh Amerika ini mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berterusan antara kedua-dua negara.
Katanya, ia juga membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan kami di Amerika, khususnya Pejabat Wakil Perdagangan Amerika dan Jabatan Perdagangan Amerika, atas kerjasama dan sokongan mereka sepanjang proses rundingan ini,” katanya.
MITI juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat anggaran kesan kadar tarif berbeza terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Dalam menguruskan kesan tarif 19 peratus, MITI akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi mencari kaedah mengurangkan kesan tarif terhadap eksport Malaysia.
Selain itu, MITI akan menggalakkan pengeksport untuk memanfaatkan sepenuhnya 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia untuk memperkukuh dan mempelbagaikan pasaran eksport.
Meneruskan program reformasi perindustrian – seperti yang digariskan dalam dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Nasional Semikonduktor (NSS) untuk membantu syarikat Malaysia meningkatkan kecekapan, mengadaptasi automasi dan melonjakkan produktiviti keseluruhan.
MITI juga akan meneroka cara kerajaan boleh terus menyokong syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam menyesuaikan diri dengan kadar tarif baharu ini sebagai penanda aras (‘baseline’) baharu.
Tengku Zafrul berkata, landskap ekonomi global sejak Mac 2025 semakin tidak menentu, berikutan perubahan dasar perdagangan, ketidakpastian tarif dan ketegangan geopolitik yang meningkat.
Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung pada perdagangan, prospek pertumbuhan Malaysia sangat berkait rapat dengan risiko luaran ini.
Walau bagaimanapun, katanya MITI telah beberapa kali menegaskan bahawa Malaysia menghadapi cabaran ini dari kedudukan yang kukuh dan berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, hasil sokongan dasar yang berterusan serta reformasi perindustrian dan ekonomi yang telah menggalakkan penggunaan swasta.
“MITI akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk memaksimumkan manfaat daripada perkembangan ini, termasuk momentum kukuh dalam pelaburan yang diluluskan, didorong oleh projek infrastruktur yang sedang berjalan, kadar realisasi pelaburan melebihi 85 peratus, serta inisiatif pembangunan nasional yang bersifat pemangkin.
“Kami tetap komited dalam mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia sambil membina perkongsian yang saling menguntungkan dengan ekonomi utama, termasuk AS.
“Malaysia juga akan terus melaksanakan reformasi perindustrian dan inisiatif pemelbagaian perdagangan strategik untuk menyokong pertumbuhan negara,” katanya.
MITI turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses rundingan ini, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pejabat Perdana Menteri, pelbagai kementerian dan agensi, Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), serta wakil dari badan pemikir dan industri yang memainkan peranan penting dalam merumuskan tawaran terbaik Malaysia kepada AS.
Dalam bulan-bulan akan datang, MITI bersama kementerian dan agensi berkaitan akan menjalankan program jangkauan khusus mengenai pelaksanaan kadar tarif baharu bagi eksport Malaysia ke pasaran Amerika.
MITI berhasrat untuk terus mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Amerika, iaitu pasaran eksport terbesar Malaysia bernilai RM198.65 bilion, serta sumber pelaburan asing terbesar dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM32.82 bilion pada 2024.
Sementara tu menurut White House, perubahan kadar tarif yang dikenakan eatas Malaysia akan mula berkuat kuasa pada 7 Ogos.
Singapura pula kekal dengan kadar tarif 10 peratus, manakala Myanmar dan Laos dikenakan kadar tertinggi iaitu 40 peratus susulan kegagalan kedua-dua negara memeterai perjanjian perdagangan dengan Amerika.
Thailand dan Kemboja turut menerima pengurangan kadar tarif kepada 19 peratus, berbanding kadar asal yang diancam setinggi 36 peratus.
Pengurangan ini susulan persetujuan kedua-dua negara Asia Tenggara itu untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, selepas Trump memberi amaran tidak akan menjalinkan sebarang perjanjian perdagangan jika pertikaian sempadan berterusan.
Filipina dan Indonesia kekal dikenakan tarif 19 peratus selaras dengan perjanjian perdagangan sedia ada bersama Washington.
Barangan Vietnam pula akan terus dikenakan tarif 20 peratus, seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Syria menjadi negara dengan kadar tarif tertinggi, iaitu 41 peratus.
“Presiden telah memutuskan bahawa adalah perlu dan wajar untuk mengubah kadar tarif timbal balik bagi sesetengah negara,” menurut White House.
Dalam pada itu, tiada keputusan muktamad dicapai berhubung kadar tarif terhadap China, meskipun pegawai tinggi kedua-dua negara pada 29 Julai lalu bersetuju untuk memanjangkan gencatan tarif selama 90 hari yang dijangka tamat pada 12 Ogos.
Trump bagaimanapun masih belum memberikan persetujuan rasmi terhadap pelanjutan itu.- 1/8/2025