FOKUS

PM arah siasatan telus tanpa lindungi sesiapa dalam kes Zara Qairina…

“Arahan kita jelas tiada tolak ansur, tidak kira anak siapa sekalipun, anak menteri atau sesiapa sahaja, saya tidak peduli.” Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pihak yang terlibat dalam insiden trajis kes kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir.

Beliau menegaskan siasatan berhubung kes di Papar,Sabah itu perlu dilakukan secara telus tanpa melindungi sesiapa.

“Ini kerajaan MADANI, kita tidak akan melindungi pembunuh,” katanya.

Anwar kata beliau sendiri telah menghubungi Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan dilaksanakan seadilnya.

Beliau berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar juga telah diarahkan turun ke Sabah bagi memantau sendiri siasatan agar tidak timbul persepsi pihak tertentu dilindungi.

Perdana Meneri berkata demikian pada Program Rancakkan MADANI Kelantan di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

“Saya tanya, apakah ada kesilapan (siasatan Zara Qairina)? Kalau ada, ambil tindakan. Ini satu kematian, tidak kiralah anak orang miskin atau anak kaya, di gunung, di darat atau di laut, kita ambil tahu kerana siasatan mesti dijalankan secara telus. Saya sedih kerana ini mungkin anak atau cucu saya.

“Oleh kerana terdapat syak wasangka, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan supaya kubur digali semula untuk bedah siasat kedua,” katanya.

Beliau berkata kes tersebut tidak boleh dipandang ringan, terutamanya memandangkan pelbagai dakwaan yang timbul termasuk mangsa terjatuh, ditolak serta dibuli.

“Anak kita di Sabah meninggal dunia ada kata jatuh, ada kata tolak, ada kata sebab buli. Kita tidak pandang ringan dan kita tidak mahu ia dijadikan bahan politik.

“Arahan kita jelas tiada tolak ansur, tidak kira anak siapa sekalipun, anak menteri atau sesiapa sahaja, saya tidak peduli,” katanya.

Semalam, AGC dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.

AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.- 9/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button