FOKUS

Lagi kisah Zara Qairina…bedah siasat selesai…dikebumi semula di kampong asalnya di Sipitang

Pada jam 9.25 malam Ahad jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, di Kota Kinabalu.

Difahamkan proses bedah siasat keatas jenazahnya yang bermula jam 9 pagi berakhir sekitar jam 7.30 malam.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang.

Tanah perkuburan di kampong asal Zara Qairina itu terletak kira-kira 130 kilometer dari Kota Kinabalu.

Jasad Allahyarham dikatakan masih utuh walau selepas 23 hari dikebumikan.

Jenazah pelajar berusia 13 tahun itu tiba di hospital Queen Elizabeth I pada pukul 10.30 malam tadi selepas digali semula dari tanah perkuburan di Sipitang pada pukul 7.31 malam.

Sejurus tiba di situ jenazah itu dibawa ke Jabatan Radiologi untuk imbasan CT sebelum disimpan di Jabatan Perubatan Forensik untuk proses bedah siasat pagi Ahad.

Penggalian semula kubur arwah Zara dilakukan selepas mendapat perintah Majistret Zuraini Ali Musa melalui prosiding secara aplikasi Zoom yang didengar di IPD Papar tengah hari semalam.

Jenazah Allahyarham dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia kerana dikatakan akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, sehari sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda ketika ditemui pemberita berkata tiada situasi tidak diingini berlaku ketika orang ramai berkumpul di pekarangan hospital itu semasa proses bedah siasat sejak pagi Ahad.

“Semua dalam keadaan aman, saya ucapkan terima kasih atas kerjasama semua. Saya mohon selepas ini orang ramai beri kerjasama untuk bersurai,” katanya.

Turut berada di hospital itu ialah ibu Zara, Noraidah Lamat yang tiba sekitar pukul 8.30 pagi.

Uursan bedah siasat diketuai oleh pakar patologi Dr Jessie Hiu.

Sementara itu peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina menegaskan bahawa proses bedah siasat terhadap jasad pelajar itu dijalankan secara telus tanpa sebarang campur tangan luar atau ‘tangan ghaib’ seperti yang didakwa di media sosial.

Shahlan Jufri berkata, beliau sendiri menyaksikan keseluruhan proses selama lebih lapan jam di bilik bedah siasat bersama pasukan forensik yang terdiri daripada empat doktor pakar, anggota polis serta jurugambar.

“Perjalanan bedah siasat sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti yang disebut di media sosial, tiada tangan ghaib. Saya sendiri lihat bagaimana arwah diperiksa sehingga selesai termasuk pemeriksaan organ dalaman.

“Saya berada di situ dari jam 11 pagi sehingga 7.30 malam. Terdapat sekitar tujuh hingga lapan orang dalam bilik bedah siasat, pakar, polis dan saya sendiri. Saya boleh katakan proses berjalan dengan telus,” katanya.

Shahlan turut menjelaskan bahawa tiada sebarang orang kenamaan (VVIP) memasuki bilik bedah siasat.

“Memang tiada. Yang ada hanya wakil keluarga, doktor dan pihak polis,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di seluruh negeri Pahang agar melaksanakan solat hajat khas buat Allahyarham Zara Qairina.

Menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda turut menyampaikan doa buat keluarga Allahyarham Zara dalam menghadapi ujian berat itu.

“Solat ini bertujuan memohon kepada Allah agar segala urusan berkaitan proses keadilan bagi Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipermudahkan serta kebenaran dapat ditegakkan.

“Paduka Baginda turut menyampaikan doa agar ibu bapa serta keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini,” menurut kenyataan itu.- 10/8/2025

BERITA SEBELUM INI :

Jabatan Peguam Negara arah gali semula jenazah Zara Qairina…

Tiga minggu selepas pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dikebumikan ekoran ‘terjatuh’ dari bangunan asrama di Papar,Sabah… Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula jenazahnya.

Jenazah itu dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang yakni kampong asal Zara pada 17 Julai sehari selepas kejadian tragis yang menimpa Allahyarham.

Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar dipercayai ‘terjatuh’ dari tingkat tiga bangunan asrama itu.

Dia ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

Polimek timbul tentang kematian kerana ada dakwaan ia berpunca dari kejadian buli.

Malah kejadian mendapat perhatian banyak pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu kenyataan AGC kata keperluan untuk menggali semula jenazah Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.

Menurutnya terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

“Ia setelah AGC meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina,” katanya.

Isnin lalu, AGC memaklumkan menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya.

Bagaimanapun, AGC menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kepada polis berhubung kematian pelajar sekolah agama yang meninggal dunia pada 16 Julai lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata laporan siasatan itu diserahkan pihaknya kepada polis semalam untuk pihak berkuasa itu melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu ibu kepada Zara, Noraidah Lamat, 45, baru baru ini dilaporkan telah memohon kubur anaknya itu digali semula demi mendapat jawapan dan keadilan.- 8/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button