TAHUKAH ANDA

Akses metadata: Cadangan MCMC langkah tepat tangani jenayah siber

Akses segera kepada metadata seperti rekod panggilan, alamat IP dan data geolokasi amat penting dalam usaha membanteras jenayah siber, penipuan dalam talian, eksploitasi kanak-kanak serta ancaman keganasan, kata Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid.

Menurutnya kelewatan mendapatkan maklumat tersebut boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa dan pada masa sama mengundang risiko terhadap keselamatan awam.

“Metadata ialah bukti digital yang kritikal. Jika akses ditangguh, peluang untuk mengenal pasti suspek atau menyelamatkan mangsa mungkin terlepas begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mewujudkan rangka kerja memperolehi metadata komunikasi daripada penyedia rangkaian.

Menurut Dr. Haezreena, dari perspektif undang-undang, capaian segera ini memastikan bukti diperoleh secara sah, dipelihara serta boleh diterima di mahkamah, di samping membolehkan siasatan dijalankan tanpa kelewatan yang boleh menyebabkan kehilangan data penting.

“Dari sudut kriminologi pula, akses pantas menyokong pengecaman suspek, memutuskan rangkaian jenayah dan melindungi mangsa, terutama dalam kes berasaskan teknologi yang bergerak pantas,”ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa rangka kerja pengekalan, pemeliharaan dan pendedahan data yang standard merentas semua penyedia perkhidmatan mampu menyelesaikan ketidakkonsistenan sedia ada, merapatkan jurang pembuktian serta memastikan semua pihak beroperasi di bawah kewajipan dan perlindungan berkanun yang sama.

“Dari segi undang-undang, ini mengurangkan pertikaian mengenai kebolehterimaan bukti. Dari sudut kriminologi, ia menyelaraskan proses, meminimumkan kelewatan dan meningkatkan keberkesanan siasatan,” katanya.

Mengambil contoh antarabangsa, Dr. Haezreena merujuk kepada Arahan Pengekalan Data Kesatuan Eropah (2006/24/EC) yang mewujudkan peraturan seragam di seluruh negara anggota, membolehkan siasatan rentas sempadan lebih pantas.

Beliau juga menyebut Akta Penyimpanan Data Australia 2015 yang mewajibkan pengekalan metadata selama dua tahun, dan terbukti membantu menyelesaikan kes jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak serta keganasan.

Walaupun menyokong langkah ini, beliau mengingatkan bahawa kebimbangan mengenai privasi awam adalah sah dan perlu ditangani dengan perlindungan sewajarnya. Antara cadangan beliau ialah memastikan akses metadata hanya dibenarkan melalui kelulusan kehakiman, tempoh pengekalan yang munasabah, dan audit bebas yang telus.

“Penguatkuasaan undang-undang moden tidak dapat lari daripada keperluan metadata. Namun ia mesti dilaksanakan dalam rangka kerja yang berkadar, telus dan menghormati hak asasi,” katanya.

“Saya menggalakkan orang ramai untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perundingan awam MCMC yang berterusan mengenai cadangan ini supaya pengawal selia boleh mempertimbangkan pelbagai perspektif, menangani kebimbangan yang sah, dan mempertimbangkan penambahbaikan pada rangka kerja jika perlu”jelasnya. -18/8/2025 OLEH AHMAD SYAUQI ABDUL RAZAK

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button