TAHUKAH ANDA

Iran benar kapal Malaysia lalu Selat Hormuz tanpa tol

Sekurang-kurangnya tujuh kapal milik Malaysia dijangka akan belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz dalam beberapa hari akan datang menyusuli jaminan daripada Iran, walaupun ketegangan di rantau itu akibat perang dengan Amerika Syarikat-Israel, semakin meningkat.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, berkata Tehran dimaklumkan tentang kehadiran kapal-kapal berkenaan di Teluk Parsi serta hasrat mereka untuk melalui laluan perairan strategik itu.

“Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan ingin melalui laluan tersebut.

“Kami telah mempertimbangkan perkara ini dan insya-Allah mereka akan melaluinya. Tiada masalah kerana Malaysia ialah negara sahabat. Negara sahabat bebas menggunakan selat ini,” katanya dalam temu bual bersama New Straits Times di Kedutaan Iran, di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai kemungkinan kapal Malaysia akan dikenakan bayaran tol, Valiollah menjawab mereka dibenarkan melalui selat itu tanpa sebarang bayaran.

“Sudah tentu (kapal Malaysia bebas untuk melalui). Kami tidak akan mengenakan caj,” tambahnya.

Sebelum ini, pada 28 Mac, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyatakan tujuh kapal tangki Malaysia – tiga milik Petronas, dua milik MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd – sedang menanti kebenaran untuk melalui Selat Hormuz.

Beliau menjelaskan kapal-kapal itu tidak ditahan, sebaliknya menunggu waktu yang selamat dan isyarat rasmi untuk meneruskan pelayaran. Empat daripada kapal tersebut dilaporkan membawa minyak mentah.

Sekatan terhadap pergerakan kapal di selat itu berlaku selepas Iran mengehadkan transit melalui laluan penting dunia itu yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, sebagai tindak balas terhadap serangan dilancarkan Amerika dan Israel sejak Februari lalu.

Sementara itu, Valiollah berkata Selat Hormuz kekal terbuka kepada perkapalan antarabangsa, sambil menyifatkan sekatan terpilih itu sebagai tindak balas sah terhadap serangan baru-baru ini dan menolak dakwaan bahawa selat tersebut ditutup sepenuhnya.

Akses ke laluan strategik itu kini dihadkan secara terpilih. Negara yang terlibat atau menyokong serangan terhadap Iran dilarang melaluinya.

Tambah Valiollah, Iran tetap membenarkan laluan bagi negara sahabat, tertakluk kepada penyelarasan dengan pihak berkuasa mereka.

“Saya ingin tegaskan Selat Hormuz tidak ditutup. Ia dihadkan untuk sesetengah pihak, bukan semua. Jika anda menyerang Iran, anda tidak boleh menggunakan selat ini. Tetapi kami tidak menutupnya,” katanya.

Iran dikenakan sekatan diketuai Amerika sejak 1979, berikutan Revolusi Islam dan kemerosotan hubungan diplomatik selepas itu, dengan sekatan diperluaskan selama beberapa dekad meliputi sektor tenaga, kewangan dan perkapalan.

Walaupun begitu, Selat Hormuz kekal terbuka kepada perkapalan antarabangsa sebelum konflik terkini. Penutupan atau sekatan terhadapnya menyebabkan lonjakan harga bahan api global.

Valiollah turut menolak kemungkinan campur tangan tentera laut asing di kawasan tersebut, menyusuli laporan bahawa Amerika meminta sokongan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk mengiringi kapal melalui selat itu.

Beliau berkata tiada maklum balas bermakna daripada NATO dan menambah bahawa sebarang kehadiran sedemikian akan dilihat oleh Tehran sebagai sokongan terhadap pencerobohan Amerika.

Mengenai kenaikan harga bahan api global, Valiollah berkata Iran secara sejarahnya tidak menutup selat itu walaupun berdepan sekatan selama beberapa dekad, kerana mengambil kira kesan terhadap pasaran dunia.

“Iran telah dikenakan sekatan selama 47 tahun, tetapi kami tidak pernah menutup Selat Hormuz. Kami boleh melakukannya, tetapi kami tidak berbuat demikian.

“Jika kami menutupnya, orang di seluruh dunia akan menderita. Kami mempunyai masalah dengan Amerika, tetapi kami tidak mahu meluaskan masalah itu kepada negara lain atau pasaran antarabangsa,” katanya.

Namun, beliau memberi bayangan bahawa keadaan semasa menunjukkan perubahan pendekatan, dengan negara yang melakukan serangan dipersalahkan atas kenaikan harga bahan api.-1/4/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button