TAHUKAH ANDA

Pusat data: Amanah beri amaran krisis air boleh berlaku di Johor

Johor berisiko berdepan krisis air seawal 2030 jika pengurusan bekalan tidak dipantau dengan rapi, khususnya dalam mengimbangi antara penawaran dengan permintaan air terawat dengan pertumbuhan pesat sektor baru seperti pusat data.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan data semasa, jumlah penawaran dan permintaan air terawat di Johor menjelang 2030 kelihatan seimbang.

Namun, krisis boleh berlaku lebih awal sekiranya beberapa faktor kritikal tidak ditangani segera oleh kerajaan negeri dan pihak berkaitan.

Menurut beliau, Johor ketika ini mempunyai 47 loji rawatan air (LRA) yang dikendalikan oleh Ranhill SAJ Sdn Bhd, dengan jumlah pengeluaran harian mencecah 2,351 juta liter sehari (MLD).

“Selain itu, kerajaan negeri membeli 60.57 MLD air terawat daripada Singapura, menjadikan jumlah keseluruhan bekalan semasa ialah 2,411.57 MLD. Daripada angka itu, rizab yang diperuntukkan oleh Ranhill SAJ hanyalah 10 peratus atau kira-kira 241 MLD.

“Ini bermakna permintaan sebenar ketika ini merentasi semua sektor adalah sebanyak 2,170 MLD. Walaupun bekalan masih mampu menampung keperluan, margin rizab yang kecil ini memberi gambaran rapuh kepada kedudukan bekalan air negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dzulkefly menggariskan empat senario yang boleh mencetuskan krisis air lebih awal daripada 2030.

Pertama, jika projek pembinaan takungan dan LRA baru gagal disiapkan mengikut jadual.

Kedua, sekiranya kerajaan negeri meluluskan terlalu banyak pusat data sehingga kapasiti bekalan sedia ada tidak mampu menampung.

Ketiga, ketiadaan teknologi baru bagi mengurangkan kebergantungan pusat data kepada air terawat, termasuk penggunaan sistem penyejukan cekap, kitar semula air sisa, serta penuaian air hujan.

Keempat, berlakunya gangguan air berjadual atau tidak berjadual akibat kelemahan pengurusan Ranhill SAJ.

“Jika empat faktor ini berlaku serentak, hasrat Johor untuk mencapai matlamat Projek Kebergantungan Sifar atau ‘Zero Dependency Project’, iaitu sifar kebergantungan pada bekalan air dari Singapura, hanya akan tinggal impian,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, walaupun kehadiran pusat data membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang besar, terutamanya dalam konteks Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kerajaan negeri perlu memastikan manfaatnya lebih besar daripada mudarat.

“Jika rakyat terpaksa menanggung gangguan air yang kerap hanya kerana projek-projek pusat data diluluskan tanpa kawalan, maka manfaat pelaburan ini tidak lagi bermakna.

“Johor harus memastikan bahawa pembangunan ekonomi digital bukan sahaja menguntungkan pelabur, tetapi juga menambah baik kehidupan harian Bangsa Johor,” tambahnya.-19/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button