SUARA PEMBACA

“Tiada kompromi” – Menteri Pendidikan arah siasatan segera kes buli di Johor

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli di sekolah selepas kejadian terbaru melibatkan seorang murid di Johor dilaporkan media.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin, beliau menyatakan kes berkenaan perlu disiasat segera agar tindakan sewajarnya dapat diambil dengan telus dan berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya mengambil serius kejadian buli melibatkan seorang murid yang berlaku di Johor seperti yang dilaporkan media. Siasatan kes ini perlu disegerakan dengan tindakan segera sewajarnya dapat diambil.

“Tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM. Ia mesti dikendalikan dengan adil dan telus berdasar kepada garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Fadhlina turut memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menziarahi murid terbabit yang kini sedang mendapatkan rawatan di hospital. Beliau mendoakan agar murid tersebut segera pulih daripada kecederaannya.

“Saya doakan semoga anak ini diberi kesembuhan segera,” katanya lagi.

Harian Metro melaporkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun, yang juga pesakit barah hidung, kini menderita akibat gegaran otak selepas didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama di Johor Bahru, dalam satu kejadian pada Februari 2025.

Ibunya, Siti Suhana Misdi, 39 tahun, mengakui turut kesal apabila pelaku berusia 12 tahun itu difahamkan tidak dikenakan tindakan sewajarnya dengan alasan masih di bawah umur.

Menurutnya, dalam kejadian pada 21 Februari itu, anak lelakinya dipukul, ditendang, dihentak kepala serta dipaksa berbogel oleh murid Darjah 6 terbabit.

Siti Suhana berkata laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Universiti pada hari sama anak keempat daripada enam beradik itu keluar hospital.

Bagaimanapun, beliau kecewa apabila dimaklumkan kes berkenaan tidak sesuai untuk dibuka kertas siasatan dan tindakan yang diambil hanyalah sesi perjumpaan antara kedua-dua keluarga.

Lebih malang, Siti Suhana berkata anaknya sekali lagi menjadi mangsa buli oleh pelaku berbeza pada 7 Ogos di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai.

“Saya tidak pasti mengapa anak saya menjadi mangsa (buli). Adakah kerana dia dilihat seorang yang lemah kerana berpenyakit hingga diperlakukan demikian? Anak saya diserang barah hidung sejak 2023. Alhamdulillah keadaannya sudah pulih 80 peratus dan hanya mengalami simptom sederhana selepas menerima rawatan sesuai,” katanya yang memaklumkan sudah membuat laporan polis kedua pada 15 Ogos.-19/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button