TAHUKAH ANDA

Anwar salur RM100,000 untuk peserta RXZ Members 7.0…

Kerajaan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 kepada peserta Program RXZ Members 7.0 2025 sebagai bukti komitmen serta sokongan penuh terhadap penganjuran acara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan MADANI mengiktiraf peranan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim dan penyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Katanya, penganjuran program itu akan menjadi platform utama menghimpunkan peminat serta penggiat permotoran dari seluruh negara, sekali gus mengangkat potensi industri permotoran ke tahap lebih tinggi.

“Selaras dengan tekad kerajaan MADANI untuk memastikan kesejahteraan rakyat, aspek keselamatan akan sentiasa menjadi keutamaan.

“Justeru, saya menyeru semua peserta dan penganjur supaya mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, arahan sudah diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyediakan bantuan dan kawalan sewajarnya bagi menjamin kelancaran serta keselamatan sepanjang program.

Sebelum ini, Polis Terengganu memberi jaminan peminat motosikal Yamaha RXZ boleh menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 selama dua hari bermula Jumaat ini dengan tenang tanpa perlu risau ‘dipukat’ pihak berkuasa.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pihaknya tidak akan memilih pendekatan sekatan jalan raya (SJR) sepanjang penganjuran program yang dijangka disertai lebih 100,000 peminat motosikal Yamaha RXZ seluruh negara.

Sebaliknya, beliau berkata, penguat kuasa undang-undang, kawalan ketenteraman awam dan kelancaran trafik akan dilaksanakan menerusi rondaan anggota polis bertugas.

“Seramai 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang penganjuran Himpunan RXZ Members 7.0.

“Kawalan akan dilakukan di lokasi penganjuran iaitu Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini dan lokasi tumpuan peserta seperti tempat penginapan mereka di sekitar bandar raya ini dan daerah sekitar,” katanya.

Mohd. Khairi mengingatkan peseta RXZ Members 7.0 agar mematuhi undang-undang termasuk memiliki lesen memandu sah dan tidak mengubahsuai motosikal tanpa spesifikasi dibenarkan.

Beliau berkata, peserta himpunan itu juga diingatkan agar tidak membuat bising di tempat awam dan membawa barangan terlarang seperti dadah.

“Sebarang pelanggaran undang-undang (oleh peserta RXZ Members) akan diambil tindakan tegas oleh pegawai dan anggota polis yang melakukan rondaan,” katanya.

Program RXZ Members 7.0 2025 dijadual berlangsung Sabtu ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.-19/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button