
Tumbuk jurulatih: FAM bakal kenakan tindakan tegas
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit dalam insiden kecoh di Arena Futsal Negeri Sembilan semalam membabitkan ketua jurulatih Sabah, Roger Filipe, yang ditumbuk penolong jurulatihnya sendiri.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah meminta laporan penuh daripada pegawai perlawanan dan pengadil sebelum kes berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.
“Kita sedang meneliti insiden pergaduhan itu dan menunggu laporan daripada pegawai perlawanan serta pengadil. Semua maklumat terbabit akan dikumpul dan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan selanjutnya.
“Sekiranya didapati bersalah, jurulatih terbabit boleh dikenakan hukuman gantung dan denda,” katanya.
Insiden panas itu tercetus sejurus tamat aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Futsal Malaysia yang menyaksikan Sabah tumbang 3-4 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sabah sebelum itu tampak selesa apabila mendahului 3-1, namun momentum permainan berubah apabila JDT bangkit garang untuk menutup perlawanan dengan kemenangan dramatik.
Kekalahan itu nyata mengundang kemarahan Filipe yang dilihat gagal mengawal emosi. Beliau bertindak agresif hingga memaksa pegawai sendiri cuba menenangkan keadaan.
Namun suasana bertambah tegang apabila penolong jurulatihnya tiba-tiba melepaskan satu tumbukan tepat ke wajah Filipe hingga beliau rebah terbaring di tepi gelanggang.
Detik mengejutkan itu sempat dirakam penonton sebelum rakaman berkenaan tular di media sosial, sekali gus mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan peminat futsal tanah air.
Lebih memalukan, insiden itu berlaku dalam pentas rasmi yang menjadi tumpuan ramai, sekali gus mencalar imej profesionalisme pasukan.
Apa yang berlaku itu dilihat jarang berlaku khususnya dalam era moden apabila seorang jurulatih ditumbuk oleh barisan kejurulatihannya sendiri.
Kini, nasib jurulatih dan penolongnya itu bakal ditentukan Jawatankuasa Tatatertib, namun imej pasukan Sabah sudah pun terpalit dengan kontroversi yang tidak akan dilupakan penyokongnya.-25/8/2025