
Jom ke Temasya Warisan Pahang 2025…macam-macam ada…!!!
Yayasan Tenun Pahang Diraja menganjurkan sebuah festival bertaraf antarabangsa, Temasya Warisan Pahang 2025 yang menghimpunkan warisan seni, kraf, kulinari dan budaya di bawah satu bumbung.
Lebih istimewa, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mempersembahkan demonstrasi masakan tradisional Pahang termasuk hidangan cita rasa bangsawan.
Acara eksklusif itu dijangka menjadi antara tarikan utama sepanjang temasya berlangsung.
Temasya tersebut dijadualkan bermula 1 hingga 7 September 2025 di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan, Pahang manakala Majlis Perasmian akan diadakan pada 31 Ogos 2025 di Muzium Maritim, Pulau Beram dengan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pukul 8.30 malam.
Majlis perasmian itu bakal turut menyaksikan Pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah dan Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah iaitu Pertandingan Tenun Pahang Diraja.

Turut memeriahkan majlis, keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang; Sultanah Terengganu, Sultanah Nurzahirah; Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin; serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari.
Malam tersebut juga turut diserikan dengan Pameran Lukisan Jiwa oleh penyanyi tersohor negara, Datuk M. Nasir.
Temasya Warisan Pahang 2025 mengangkat warisan seni kraf dari Pahang, seluruh Malaysia dan antarabangsa termasuk Turkiye serta negara ASEAN seperti Laos, Singapura dan Indonesia.
Antara aktiviti utama adalah bengkel kraf seperti batik blok, batik lukis, ukiran kayu, anyaman mengkuang dan rotan, seni telepuk, gerus, kelingkam, seramik, sulaman, pewarnaan alam, serat nanas dan serat kenaf.
Tidak ketinggalan, teknik tradisi Laos iaitu benang sutera, silk reeling turut dipersembahkan.
Selain kraf, pengunjung bakal menikmati Pameran Warisan Gastronomi dan Kulinari Pantai Timur, pameran tiffin (mangkuk tingkat), seni kraf Orang Asli seperti ukiran patung suku Jahut, anyaman selempang suku Semelai dan tikar rotan.
Menariknya, pertandingan masakan dalam kalangan pelajar sekolah turut dianjurkan, menambah warna kepada keunikan warisan kulinari.
Tidak lengkap tanpa persembahan seni budaya, temasya itu menampilkan Dikir Pahang, Gendang Silat Pahang, muzik tradisional Usari Pinang Dara serta persembahan budaya Sarawak.
Temasya selama tujuh hari itu menyediakan ruang vendor makanan dan minuman untuk pengunjung, serta reruai maklumat daripada pelbagai institusi termasuk perbankan.
Majlis penutup dijadualkan berlangsung pada 7 September 2025 di Muzium Seni Kontemporari Pahang, Kuantan pada pukul 8.00 malam.
Penganjuran temasya itu mendapat sokongan Muzium Pahang dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, sekaligus mengukuhkan misi Yayasan Tenun Pahang Diraja untuk memartabatkan warisan seni kraf negara di persada dunia.-27/8/2025