TAHUKAH ANDA

Tambahan cukai RM10 bilion setahun hasil semakan SST

Semakan kadar cukai jualan dan peluasan cukai perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 dijangka mampu menjana pertambahan hasil sebanyak RM10 bilion setahun bermula tahun 2026.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan, kutipan SST untuk buah-buahan import pula dijangka mampu menjana pertambahan hasil sebanyak RM38 juta setahun bermula 2026.

Jelas Kementerian Kewangan, langkah semakan semula kadar SST itu dilaksanakan antara lainnya bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara di samping mempromosi dan menyokong industri buah tempatan.

“Namun Kerajaan telah mengambil kira maklum balas rakyat dan menyemak semula kadar untuk mengecualikan buah import terpilih seperti epal, oren, kurma dan limau mandarin.

“Keputusan ini diambil untuk memastikan akses yang terjamin kepada makanan yang berkhasiat dan lazim dimakan, terutamanya bagi golongan rentan,” jelas Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan menjawab soalan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse yang bertanyakan jangkaan pengutipan hasil daripada perluasan SST yang mula dikuatkuasa pada 1 Julai khususnya kutipan untuk buah-buahan import.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan memaklumkan, peluasan dan pelarasan kadar SST yang dilaksanakan mulai 1 Julai 2025 telah dirangka dengan berhati-hati supaya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, jelas Kementerian Kewangan, peluasan SST dilakukan melalui pendekatan secara bersasar dan memastikan kemudahan dan pengecualian tertentu diberikan sebagai langkah mitigasi bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil dan hanya ditanggung oleh pihak yang berkemampuan sahaja.-27/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button