
Kadar kesuburan wanita di Selangor menurun…
Kadar kesuburan wanita di Selangor mencatatkan penurunan sebanyak 7.2 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Statistik itu menunjukkan purata wanita di negeri berkenaan hanya melahirkan 1.5 anak, lebih rendah daripada paras penggantian generasi nasional iaitu 2.1 anak.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, antara faktor utama penurunan tersebut adalah trend perkahwinan lewat dalam kalangan generasi muda, khususnya Generasi Z.
“Disebabkan faktor kelewatan berkahwin, selain mengambil kira beban kos sara hidup, ramai yang memilih untuk berkahwin lebih lambat. Akibatnya, tempoh usia produktif untuk melahirkan anak menjadi lebih pendek, sebelum mencecah umur 40 hingga 50 tahun,” katanya.
Jelas beliau, sebagai langkah sokongan, kerajaan negeri akan membangunkan sebuah pusat subfertiliti di Shah Alam dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“Projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan dijangka siap menjelang 2030. Pusat ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Selangor, malah juga kepada penduduk di zon tengah yang menghadapi cabaran kesuburan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Selangor di Shah Alam, pada Selasa.-27/8/2025