TAHUKAH ANDA

Ketua UMNO bahagian dakwa akuan tiktok dipalsukan scammer

Kes naya… Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib membuat laporan polis selepas mengesan dua akaun TikTok berkait dirinya dipalsukan.

Beliau berkata, akaun terbabit dikesan menggunakan nama, gambar serta mencipta suara penyamaran teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa kebenarannya.

Perkara itu disedari Asmadi selepas dimaklum ahli UMNO Bahagian Padang Serai berhubung dua akaun palsu yang didaftar atas nama akaun tiktok.com/@chegumadi dan akaun tiktok.com/@cheggumadi.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin, berkata ahli politik berusia 50 tahun itu menyedari kejadian terbabit ketika berada di rumahnya di Taman Bidara, Kulim, 31 Ogos lalu.

“Akaun palsu ini dipercayai diwujudkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan penipuan kewangan.

“Kandungan yang dimuat naik bersifat mengelirukan dan boleh memberi persepsi salah kepada masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baderulhisham berkata, pengadu juga bimbang kedua-dua akaun itu akan digunakan pihak tertentu untuk memperdaya orang ramai kononnya membabitkan pengadu dalam urusan bantuan kewangan.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin politik tempatan dan Ketua Umno bahagian, penyalahgunaan identitinya boleh menimbulkan beberapa kebimbangan menyebabkan penipuan kewangan dan kerugian kepada orang awam.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan dalam talian yang menjanjikan bantuan kewangan.

“Sebelum mengambil sebarang tindakan, pastikan kesahihan maklumat itu disahkan dengan pihak berkenaan dan jangan sesekali memindahkan wang kepada individu yang tidak dikenali.

Semakan juga boleh dibuat melalui aplikasi Semak Mule, Facebook JSJK PDRM atau menghubungi talian National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, katanya.-2/6/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button