TAHUKAH ANDA

Doktor palsu kes Zara Qairina akan didakwa di mahkamah

Lelaki yang menyamar sebagai doktor dan mendakwa terbabit dalam proses bedah siasat ke atas kematian remaja perempuan berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, akan dihadapkan ke mahkamah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, individu terbabit disahkan seorang doktor palsu.

“Doktor itu palsu. Dia akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada Persidangan Grand Prix Kecerdasan Buatan (AI) 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, butiran lanjut mengenai pertuduhan ke atas lelaki itu perlu dirujuk kepada pihak polis.

“Polis yang menahannya. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanyalah agensi teknikal,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, lelaki di sebalik akaun TikTok ‘Dato Prof Dr Tunku Iskandar’ dipanggil oleh MCMC untuk siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Jika didakwa dan disabitkan kesalahan di bawah akta itu, dia boleh berdepan hukuman denda maksimum RM500,000, penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Polis turut menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Pada 16 Ogos, Fahmi mendedahkan bahawa akaun TikTok berkenaan, dalam satu siaran langsung, mendakwa hadir semasa bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos.

Bagaimanapun, semakan oleh Kementerian Kesihatan mengesahkan suspek bukanlah seorang pakar mahupun kakitangan kementerian itu.

Fahmi sebelum ini berkata, perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berdasarkan laporan rasmi daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Nor Azimi Yunus, yang mengesahkan maklumat itu dengan pakar forensik yang mengendalikan kes berkenaan.-2/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button