
Bung Moktar nafi guna pengaruh, jawatan peroleh RM2.8 juta
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur Khamis bahawa beliau menggunakan pengaruh dan jawatannya bagi memastikan beliau dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, menerima wang RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Bung Moktar, 65, berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Fadly Mohd Zamry pada perbicaraan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan beliau dan Zizie Izette.
Mohamad Fadly menyoal sama ada beliau bersetuju bahawa jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra digunakan untuk memastikan pelaburan berkenaan berjaya sehingga membawa kepada penerimaan wang tersebut.
“Tidak benar, saya tidak setuju,” jawab Bung Moktar ringkas.
Menjawab soalan lanjut sama ada beliau berperanan aktif dalam melaksanakan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta di Public Mutual, Bung Moktar sekali lagi menafikan dakwaan itu.
Mohamad Fadly: Setuju saya katakan bahawa Datuk Seri ada pengetahuan bahawa habuan (wang RM2.8 juta) akan diperoleh jika perkara ini (pelaburan) berjaya.
Bung Moktar: “Tidak betul, Yang Arif. Itu sangkaan jahat.”
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu bersetuju dengan cadangan TPR Law Chin How bahawa beliau tidak pernah membuat laporan kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra berhubung wang pengenalan RM2.8 juta yang diterima isterinya.
Katanya, tiada keperluan berbuat demikian kerana kes itu sudah dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sambil menafikan ia bertujuan melindungi kepentingan dirinya serta isteri.
Namun, Bung Moktar tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa tindakannya dilakukan di luar skop tugas dan tanpa kebenaran bertulis ALP.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.
Selain itu, beliau turut didakwa menerima suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sama, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 24 September ini.- Bernama -4/9/2025
Bung Moktar mengakui isteri tidak pernah beritahu mengenai wang pengenalan
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mengaku di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur bahawa isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai ‘introduction fee’ (wang pengenalan) yang diterimanya daripada dua ejen pelaburan Public Mutual berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah itu.
Bung Moktar, 65, saksi pembelaan pertama itu berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette pada perbicaraan membela diri pasangan suami isteri itu atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Kumaraendran: Setuju dengan saya dalam kes ini Datin Seri Zizie Izette tidak pernah memberitahu ‘introduction fee’ (wang pengenalan) yang diterima daripada dua ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.
Bung Moktar: Betul.
Kumaraendran: Setuju dengan saya, kamu hanya mengetahui perkara ini apabila dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bung Moktar menjawab, betul.
Pada 27 Jan 2022, semasa kes perbicaraan pada peringkat pendakwaan, Norhaili memberitahu mahkamah bahawa pelakon wanita itu layak menerima wang pengenalan kerana telah memperkenalkan suaminya (Bung Moktar) untuk Felcra membuat pelaburan berkenaan.
Dalam prosiding hari ini, Pengerusi BN Sabah itu turut mengakui isterinya tidak memberitahu atau meminta nasihat daripada beliau mengenai pelaburan yang ingin dibuat oleh pelakon wanita berkenaan.
Bung Moktar turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Zizie Izette tidak pernah memberitahu pendapatan beliau, malah isterinya juga tidak perlu menggunakan wang sendiri bagi perbelanjaan keluarga.
Kepada soalan peguam Kumaraendran mengenai Zizie Izette tidak terlibat terutamanya dalam cara mendapatkan kelulusan Felcra Berhad atau Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam produk unit amanah itu dan Bung Moktar menjawab setuju.
Bung Moktar juga bersetuju dengan peguam itu bahawa Zizie Izette tidak bersubahat dengan beliau menerima sebarang wang daripada Norhaili atau Madhi dan bersetuju dengan cadangan peguam yang isterinya itu tidak terlibat dalam apa-apa urusan rasmi Felcra.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- 3/9/2025
Bung Moktar nafi terima rasuah RM2.8 juta dalam kes pelaburan Felcra
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur bahawa beliau tidak menerima wang rasuah RM2.8 juta secara langsung atau tidak langsung daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad.
Bung Moktar menegaskan tiada saksi pendakwaan menunjukkan rakaman video, gambar atau perbualan direkodkan berhubung penerimaan wang oleh beliau.
“Tiada sebarang bukti menunjukkan pembayaran daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi pendakwaan ke-24 dan saksi pendakwaan ke-25 kepada saya,“ katanya semasa membacakan pernyataan saksi pada prosiding perbicaraan membela diri.
Beliau juga menafikan pernah mendorong Menteri Kewangan II ketika itu untuk mendapatkan kelulusan pelaburan RM150 juta Felcra Berhad dalam produk unit amanah Public Mutual.
Menurut Bung Moktar, Ahli Lembaga Pengarah Felcra telah mengikut prosedur sedia ada dalam membuat permohonan kepada menteri terbabit.
Beliau menjelaskan kelulusan permohonan Felcra oleh Menteri Kewangan II tidak bergantung sepenuhnya pada cadangan ALP tetapi melibatkan banyak faktor serta prosedur.
“Beberapa prosedur, due diligence, kajian oleh Menteri Kewangan dan pertimbangan secara maksimum telah dijalankan sebelum skim pelaburan itu diluluskan,“ katanya.
Bung Moktar menekankan bahawa keputusan muktamad oleh Menteri Kewangan II jarang sekali bergantung pada satu cadangan sahaja.
Beliau turut menafikan pernah berkomunikasi dengan Menteri Kewangan II mengenai permohonan pelaburan terbabit.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata beliau tidak pernah mengarahkan atau meminta isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menerima wang RM2.8 juta daripada Norhaili dan Madhi.
“Saya tidak pada bila-bila masa dimaklumkan oleh isteri saya mengenai penerimaan wang itu,“ katanya.
Beliau menyatakan hanya mengetahui mengenai perkara itu apabila dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2016 atau 2017.Malaysia Travel Guide
Ditanya sama ada beliau mempercepat kelulusan Kementerian Kewangan, Bung Moktar menjawab, “Tidak pernah Yang Arif kerana saya tidak mampu buat perkara itu”.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500.
Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad bagi mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah.
Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat, tarikh dan masa serupa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.



