FOKUS

Kecederaan Zara Qairina sepadan akibat jatuh, bukan dipukul – Pakar patoloji

Seorang pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa remaja berusia 13 tahun itu dipercayai sama ada melompat atau bergayut sebelum ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Dr Jessie Hiu, 58, yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan kedudukan serta lokasi penemuan mangsa.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan pegawai pengendali kes, Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad, pada hari kedua prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Dalam keterangannya semalam, Dr Hiu menjelaskan bahawa berdasarkan ketinggian dan kelebaran penghadang konkrit, ketinggian palang besi melintang, serta ketinggian mangsa sebelum kematian, adalah berkemungkinan untuk mangsa memanjat penghadang, melintasi palang besi berkenaan, dan berdiri di atasnya.

Pada prosiding hari ini, Dr Hiu turut mengesahkan beberapa gambar yang dikemukakan Badius Zaman, iaitu gambar diambil semasa demonstrasi di lokasi kejadian pada 2 Ogos oleh seorang pegawai perubatan yang membantunya dalam siasatan tersebut.

Ketika disoal peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat remaja didakwa membuli Zara Qairina, Dr Hiu menegaskan tiada bukti forensik yang menyokong dakwaan bahawa mangsa dipukul hingga pengsan sebelum diletakkan di lokasi kejadian.

Apabila ditanya sama ada kecederaan mangsa menyerupai kesan akibat pukulan berulang menggunakan objek tumpul, Dr Hiu menjelaskan bahawa perkara itu tidak dapat dilihat dalam kes ini.

“Kecederaan patah pada kedua-dua kakinya adalah serius dan memerlukan daya impak yang tinggi, biasanya berlaku akibat jatuh dari tempat tinggi atau kemalangan jalan raya.

“Fraktur pada tulang lumbar pula disebabkan oleh daya dalaman, bukan impak terus dari luar,” tambah beliau.

Menurut Dr Hiu, kecederaan akibat serangan fizikal lazimnya melibatkan daya yang besar dengan kerosakan meluas pada kulit dan tisu lembut di bahagian luar.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai, sehari selepas beliau ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya sekitar pukul 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.

Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

Prosiding inkues diteruskan di hadapan Koroner, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.- Bernama – 4/9/2025

Inkues kes Zara Qairina : Pakar Patoloji kata tidak mungkin dia terjatuh sendiri secara sengaja atau ditolak

Inkues hari pertama kes Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu pada petang Rabu diberitahu oleh seorang pakar patologi pandanganya mengenai kejadian yang menimpa pelajar berusia 13 tahun itu.

Dr Jessie Hiu ,pakar dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) berpendapat ia tidak mungkin berpunca daripada dia terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolahnya.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama perempuan sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar,Sabah pada jam 3 pagi Julai lalu.

Dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaan parah pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth.

Dr Hiu yang berkhidmat sebagai pakar patologi forensik sejak 1998 kata berdasarkan ketinggian pagar dan lebar pagar, palang besi serta fizikal mangsa, adalah mungkin Zara Qairina memanjat pagar, melintasi palang besi sebelum berada di atas struktur itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lokasi serta bedah siasat mendapati faktor ketinggian pagar konkrit dan palang besi tidak memungkinkan arwah jatuh dengan cara sedemikian.

“Ketinggian dari lantai ke palang besi mendatar paling atas yang dipasang pada pagar konkrit tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm), manakala saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm.

“Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi atas ialah 36 cm, yang mana ketinggian palang melebihi tiga perempat daripada tinggi si mati dan berada di atas pusat graviti badannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan keterangan bertulis pada inkues itu.

Menurut beliau, berdasarkan ketinggian pagar dan lebar pagar, palang besi serta fizikal mangsa, adalah mungkin Zara Qairina memanjat pagar, melintasi palang besi sebelum berada di atas struktur itu.

“Saya telah menyediakan laporan pemeriksaan lokasi bersama laporan pemeriksaan bedah siasat,” ujarnya.

Katanya, laporan lengkap bedah siasat dan pemeriksaan lokasi sudah disediakan selepas beliau meneliti rekod perubatan, termasuk hasil X-ray, imbasan CT (tomografi berkomputer) serta imbasan CTA (tomografi angiogram berkomputer).

Tambah Dr Hiu pemeriksaan lokasi dilakukan pada 2 Ogos lalu di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratu A’yun sekolah berkenaan.

Setakat ini, beliau mengendalikan antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun serta pernah menjadi saksi pakar antara 10 hingga 15 kali setahun di pelbagai mahkamah di Sabah dan Labuan.

“Berdasarkan ukuran, pada pendapat saya, adalah tidak mungkin si mati terjatuh atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah pagar konkrit di sepanjang koridor,” katanya.

Dr Hiu merupakan saksi pertama dalam inkues kematian Zara Qairina. Beliau menambah, walaupun secara fizikal Zara boleh melepasi penghalang dengan cara memanjat, kejatuhan daripada posisi berdiri tidak boleh berlaku.

Bedah siasat mendedahkan enam kecederaan antemortem — iaitu kecederaan dialami ketika masih hidup. Ini termasuk luka luaran dan trauma dalaman yang konsisten dengan kejatuhan dari tempat tinggi.

Zara Qairina turut mengalami koyakan di belakang kepala dengan pendarahan pada permukaan otak yang menyebabkan pembengkakan dan ensefalopati hipoksia. Pergelangan tangan kiri dan lengan bawahnya cacat akibat patah serta terkehel, manakala calar dikesan di sekitar siku.

Dia juga mengalami kecederaan akibat patah tulang kaki, termasuk keretakan berganda pada kedua-dua tulang tibia, patah tulang tumit kiri, dislokasi sendi buku lali kiri dan lebam pada kaki.

Trauma dalaman lain termasuk patah tulang vertebra lumbar kedua hingga keempat, pendarahan pada otot psoas kiri dan hematoma setempat pada pelvis.

Dr Hiu turut merekodkan patah tulang sternum, yang dijelaskan sebagai patah pasca-mortem — berlaku selepas kematian. Tiada kecederaan dikesan pada organ dada, abdomen atau pelvis, dan tiada tanda trauma pada bahagian kemaluan atau dubur.

Menggambarkan urutan kejatuhan, Hiu memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina kelihatan mendarat terlebih dahulu dengan kaki kiri, kemudian kanan, sebelum terjatuh ke belakang ke sisi badannya dan terhentak di belakang kepala.

“Selepas hentakan, dia jatuh ke belakang, terutamanya pada bahagian kiri, menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan kiri, lengan bawah kiri, siku kiri, dan belakang kepala,” katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Badiuszaman Ahmad jika kecederaan itu menunjukkan penderaan fizikal kronik, Dr Hiu menegaskan coraknya konsisten dengan kejatuhan.

Beliau menjelaskan bahawa dalam kes serangan, kecederaan biasanya bertaburan di seluruh tubuh dengan tahap penyembuhan berbeza, sedangkan kecederaan Zara Qairina terkumpul dan dapat dijelaskan melalui dua mekanisme trauma — hentakan langsung ketika jatuh dan kesan menyebabkan kerosakan dalaman seperti pendarahan otak.

Inkues kematian Zara Qairina bermula Rabu dan Khamis sebelum bersambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September depan.- 3/9/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button